KERAJAAN JOHOR KOMITED AMBIL TINDAKAN ISU JALAN RAYA


Pemantauan secara berkala keadaan jalan raya di Johor sering dilakukan kerajaan negeri bersama jabatan dan agensi Kerajaan Persekutuan serta pihak konsesi.

 

ISKANDAR PUTERI — Kerajaan Johor menghargai maklumat mengenai keadaan jalan raya di negeri ini, disalurkan pelbagai pihak dan komited mengambil tindakan penyelesaian.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, pemantauan secara berkala sering dilakukan olehnya bersama EXCO Kerja Raya, Pengarah Jabatan Kerja Raya dan pihak konsesi.

Ujar beliau, ia bagi memastikan tindakan proaktif dilakukan bagi menjamin keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya.

“Kerajaan negeri telah memperuntukkan sebanyak RM150 juta bagi menyelenggara jalan negeri di bawah seliaan JKR. RM300 juta bagi menyelenggara jalan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

“RM170 juta bagi menyelenggara jalan-jalan kampung di bawah seliaan Pejabat Daerah. RM24 juta bagi jalan pertanian oleh Jabatan Pengairan dan Saliran Johor serta RM50 juta bagi membina baru dan menaik taraf jalan-jalan kampung,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan pada Mesyuarat Keempat (Belanjawan Johor 2023) Penggal Persidangan Pertama Dewan Negeri Johor Ke-15, semalam.

Dalam ucapan sama, Onn Hafiz turut memberitahu sudah tibanya untuk Johor belajar daripada pengalaman negara luar mengenai cara mengatasi masalah banjir dengan lebih berkesan.

Ujar beliau, ia termasuklah mengambil langkah-langkah pencegahan supaya Johor tidak perlu lagi menumpukan tenga di pusat pemindahan ketika banjir.

Selain itu, katanya, pelbagai inisiatif telah dirangka agar taman-taman negara di Johor mampu menjadi tarikan utama pelancong dari dalam dan luar negara.

“Saya percaya YB EXCO Pelancongan dan Alam Sekitar bersama-sama Perbadanan Taman Negara Johor (PTNJ) telah menyediakan pelan komprehensif untuk memperkenalkan kepada dunia tentang Taman-Taman Negara yang berada di Johor.

“Ini termasuklah merangka beberapa inisiatif seperti Smart Trash Management, Edu Tourism, Community Based Tourim, Kemudahan Yang Bertaraf Eko, Pengurusan Taman Yang Efektif Melalui Penggunaan Digital dan Sumber Kewangan yang Mapan Melalui Dasar Environment, Social and Governance (ESG),” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor