KURSUS JVF SIRI 2 PERKUKUH KEPIMPINAN PEGAWAI TADBIR NEGERI JOHOR

YB Dato’ Mohammed Ridha Dato’ Abd Kadir, Setiausaha Kerajaan Johor pada Majlis Penutup Program Johor Volunteer Force: Kursus Pemantapan Jati Diri dan Kecergasan Fizikal Pegawai Tadbir Negeri Johor (Modul 1) Tahun 2026 di Padang Kawad Kem Sultan Ibrahim Markas Askar Timbalan Setia Negeri Johor (JMF), Johor Bahru. | Foto MDJ Nurina Aisyah
#JohorBahru – Seramai 31 Pegawai Tadbir Negeri Johor menyertai Program Johor Volunteer Force (JVF): Kursus Pemantapan Jati Diri dan Kecergasan Fizikal Pegawai Tadbir Negeri Johor Siri 2 (Modul 1) Tahun 2026 yang berlangsung sejak 9 Jun hingga hari ini.
Insiatif yang dilaksanakan oleh Akademi Perkhidmatan Tadbir Negeri Johor (APTNJ) dengan kerjasama Askar Timbalan Setia Negeri Johor (ATSNJ), Bahagian Pengurusan Sumber Manusia serta Pejabat Setiausaha Kerajaan Johor (Sukan, Belia dan Sukarelawan) itu bertujuan untuk memperkukuh semangat kepimpinan, disiplin, ketahanan mental dan fizikal, kecergasan serta semangat kerja berpasukan dalam kalangan peserta berkenaan.
Menerusi program ini juga, ia secara tidak langsung membuktikan komitmen Kerajaan Negeri dalam melahirkan kumpulan pegawai yang seimbang dari segi ilmu, sahsiah dan ketahanan diri, sekali gus menjadi asas utama kepada kecemerlangan perkhidmatan awam Johor pada masa hadapan.
Selain itu, aspek pembangunan Pegawai Tadbir Negeri Johor juga perlu dilaksanakan secara berterusan bagi melahirkan kepimpinan yang berteraskan pengalaman dan daya tahan di lapangan, di samping menjadikan mereka sebagai antara agen perubahan dalam menterjemahkan dasar kerajaan kepada rakyat secara keseluruhan.
Terdahulu, YB Dato’ Mohammed Ridha Dato’ Abd Kadir, Setiausaha Kerajaan Johor menyempurnakan Majlis Penutup Program Johor Volunteer Force: Kursus Pemantapan Jati Diri dan Kecergasan Fizikal Pegawai Tadbir Negeri Johor (Modul 1) Tahun 2026 di Padang Kawad Kem Sultan Ibrahim Markas Askar Timbalan Setia Negeri Johor (JMF), Johor Bahru.
Turut hadir ialah YB Dato’ Haji Ismail Haji Abu, Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Pengurusan); YBhg. Puan Norliyati Md. Nor Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Pemantauan Projek dan Kesejahteraan Rakyat); YB Dato’ Haji On Jabbar @ Jaafar, Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Sukan, Belia dan Sukarelawan) dan YBrs. Mejar Khairul Redzuan Mohd Yusof Pegawai Pemantau Latihan ATSNJ merangkap Pemantau Keseluruhan Program JVF 2026.
Sementara itu, kursus ini turut menyaksikan penganugerahan bagi Peserta Terbaik Lelaki disandang oleh Encik Muhamad Faeez Ismail, Penolong Setiausaha (Bahagian Pemantauan dan Penilaian Program Pembangunan Dan Teknikal) dari Pejabat Setiausaha Kerajaan Johor, Bahagian Pemantauan Projek Dan Kesejahteraan Rakyat. Bagi kategori wanita pula, Anugerah Peserta Terbaik dinobatkan kepada Cik Nur Farwizah Mohd Najib yang merupakan Pegawai Tadbir di Badan Kawal Selia Air Johor (BAKAJ).
#JVF2026
#APTNJ
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


