LAURA LANGMAN SEDIA BAWA PULANG TROFI NSL 2026 BUAT JOHOR JEWELS

 

Aksi Laura Langman pada pra musim Netball Super League (NSL) 2026 di Stadium Juara, Kompleks Sukan Negara Bukit Kiara.

 

#IskandarPuteri – Bekas pemain bola jaring antarabangsa New Zealand yang juga juara dunia, Laura Langman teruja untuk beraksi di Netball Super League (NSL) 2026 selepas mempamerkan aksi berkualiti tinggi ketika kempen pramusim yang menyaksikan Johor Jewels muncul sebagai pemenang.

 

Laura yang merupakan antara legenda sukan bola jaring dunia kini beraksi di Malaysia dan dia menganggap kempen NSL musim ini sangat mencabar namun dia yakin Johor Jewels mampu kembali bergelar juara selepas tewas di perlawanan akhir musim lalu.

 

Pemain kelahiran Hamilton, New Zealand itu menyatakan dia teruja dengan bakat-bakat yang ada dalam skuad Johor Jewels dan mengakui makanan enak menjadi antara faktor mengapa beliau hadir ke Johor dan mahu menyertai skuad kendalian Jane Searle itu.

 

“Saya ditanya adakah saya berminat untuk menjadi sebahagian keluarga Jewels untuk musim 2026. Saya sudah lama tidak bermain secara kompetitif dan saya tertarik untuk mengetahui bagaimana keadaan liga bola jaring di Malaysia.

 

“Saya juga sering mendengar banyak perkara yang baik tentang Johor terutama rakyat serta makanannya dan saya terus berkata ya saya mahu turut serta,” katanya menerusi temubual eksklusif bersama Media Digital Johor.

 

Legenda Silver Ferns itu turut mengakui kualiti yang ada pada NSL dan menganggap kejayaan Johor Jewels pada kempen pramusim bukanlah indikasi sebenar tetapi ianya baik buat pasukan mengetahui kekuatan dan kelemahan yang ada.

 

“Ianya akan menjadi musim yang sukar kerana saya boleh lihat ketepatan lontaran di NSL adalah antara yang terbaik dan dengan adanya format dua mata ianya akan menjadikan perlawanan lebih menarik.

 

“Apa yang ditampilkan ketika pramusim bukanlah gambaran sebenar dan pastinya satu musim yang menarik buat semua pasukan.

 

“Pada saya, pramusim adalah medan yang bagus untuk melihat di mana tahap kami ketika ini serta mencuba sistem permainan yang kami mahukan di dalam dan di luar gelanggang serta menilai apa yang kami jangkakan,” jelasnya.

 

Kehadiran Laura dan seorang lagi pemenang pingat emas Sukan Komanwel dari Australia, Gretel Bueta dijangka menambah kekuatan Johor Jewels dalam misi merampas semula kejuaraan sekali gus memberikan keterujaan buat para penyokong sukan bola jaring.

 

Laura juga menyeru para penyokong hadir ke Stadium Juara, Bukit Kiara untuk sama-sama memberikan sokongan yang padu.

 

“Buat penyokong Johor Jewels, saya gembira melihat keterujaan anda setelah bersama-sama ketika pramusim. Ayuh datang dan berikan sokongan kepada kami.

 

“Jangan lupa ‘say hello’ dan kami gembira untuk bergambar dan mendengar pandangan anda tentang perlawanan. Kami hargai sokongan anda walau di manapun anda berada,” katanya.

 

Johor Jewels akan memulakan kempen NSL menentang Melaka Mystic pada Sabtu sebelum bertemu Selangor Angels pada Ahad untuk melengkapkan minggu pertama kejohanan.

 

#JohorSafeZone
#JohorJewels
#NSL2026
#RuleTheCourt
#SukanMDJ
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor