KERAJAAN JOHOR LULUS LEBIH RM31 JUTA PERKUKUH PEMBANGUNAN JOHOR BAHRU

YB Dato’ Mohd Jafni Md Shukor, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor selaku wakil rasmi YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor mempengerusikan MTD Daerah Johor Bahru di Menara MBJB. | Foto FB Mohd Jafni Md Shukor

 

#IskandarPuteri – Kerajaan Johor terus komited memperkasa pembangunan dan kesejahteraan rakyat apabila meluluskan peruntukan berjumlah RM31,063,940 bagi melaksanakan 77 projek pembangunan di daerah Johor Bahru menerusi Mesyuarat Tindakan DUN (MTD).

 

Peruntukan tersebut merangkumi pelbagai inisiatif termasuk kerja baik pulih, projek naik taraf infrastruktur serta pembangunan kemudahan awam yang memberi manfaat secara langsung kepada rakyat di kawasan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) dan Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG).

 

Sebanyak 10 projek juga telah dikenal pasti untuk kelulusan segera dengan keutamaan diberikan kepada tiga aspek utama iaitu bencana, sosial dan keselamatan, sekali gus pendekatan ini mencerminkan keprihatinan Kerajaan Negeri dalam menangani isu-isu mendesak.

 

Selain itu, sebanyak 288 isu dan perkara berbangkit melibatkan pelbagai agensi dibincangkan melalui mesyuarat tersebut dengan sebanyak 79 isu berjaya diselesaikan manakala 92 isu dalam pelaksanaan. Ia secara tidak langsung menunjukkan komitmen berterusan Kerajaan Negeri dalam memastikan setiap aduan rakyat ditangani secara efektif.

 

Sementara itu, usaha ini bukan sahaja tertumpu kepada pembangunan fizikal, malah turut memberi penekanan kepada peningkatan kualiti hidup rakyat melalui penambahbaikan sistem perparitan bagi mengurangkan risiko banjir, naik taraf jalan raya serta pemerkasaan fasiliti komuniti dan pendidikan.

 

Kerajaan Negeri turut menegaskan bahawa setiap projek dan isu yang masih belum dapat diselesaikan sebelum ini akan terus dipantau rapi, termasuk tindakan segera diambil bagi memastikan pelaksanaan di lapangan berjalan lancar tanpa sebarang kelewatan.

 

Terdahulu, YB Dato’ Mohd Jafni Md Shukor, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor selaku wakil rasmi YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor mempengerusikan MTD Daerah Johor Bahru di Menara MBJB, semalam.

 

#JohorSafeZone
#MTDJohorBahru
#BangsaJohorSejahtera
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor