PENDUDUK SEGAMAT TERKESAN GEMPA BUMI LEMAH TERIMA BWI

3 Ketua Isi Rumah (KIR) di Segamat terima Bantuan Wang Ihsan (BWI) susulan kediaman rosak akibat gegaran gempa bumi lemah baru-baru ini. | Foto MDJ Nurina Aisyah

 

#Segamat – Kerajaan Negeri bertindak proaktif menyalurkan Bantuan Wang Ihsan (BWI) kepada 62 Ketua Isi Rumah (KIR) di Segamat yang kediamannya didapati mengalami kerosakan kecil susulan gegaran akibat gempa bumi lemah di daerah tersebut dengan kejadian pertama berlaku pada 24 Ogos lalu.

 

Sumbangan BWI dengan sokongan Kerajaan Persekutuan melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Tabung Bencana Kerajaan Negeri pada kadar maksimum RM3,000 setiap keluarga itu disalurkan segera menerusi Pejabat Daerah Segamat kepada KIR di kawasan terjejas meliputi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Buloh Kasap, DUN Pemanis dan DUN Jementah.

 

Selain itu, penduduk yang terkesan tetapi belum tersenarai sebagai penerima bantuan boleh mengemukakan permohonan rayuan sehingga jam 5 petang pada 19 September ini, dengan borang boleh diperoleh di Pejabat Daerah Segamat atau dimuat turun melalui laman rasmi Facebook Pejabat Daerah Segamat.

 

Kerajaan Negeri sentiasa komited dalam memastikan keselamatan rakyat Johor terutama di kawasan berlaku bencana terpelihara dan memberikan maklumat sahih melalui saluran rasmi di samping menyarankan penduduk agar terus bertenang serta yakin terhadap langkah intervensi yang dilaksanakan.

 

Semalam, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor mengumumkan Kerajaan Negeri bersetuju menyalurkan BWI kepada 62 KIR di Segamat yang terlibat dan telah membuat laporan polis selain memaklumkan komitmen pelaksanaan intervensi berfasa merangkumi langkah jangka pendek, sederhana serta panjang.

 

Terdahulu, YB Dato’ Zahari Sarip, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor menyempurnakan penyerahan BWI kepada 62 KIR yang terkesan susulan gegaran akibat gempa bumi lemah di Pejabat Daerah Segamat, hari ini.

 

#JohorSafeZone
#BantuanWangIhsan
#GempaBumiLemah
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor