‘PLOT TWIST’ DI SAAT AKHIR, SILAMBAM JOHOR TUTUP TIRAI SUKMA DENGAN GANGSA

Pasukan Silambam Johor berjaya menyumbang empat pingat yang merangkumi dua pingat perak dan dua pingat gangsa.
#Serdang, Selangor – Kalau sudah rezeki, tidak akan ke mana. Itu yang berlaku kepada Pasukan Silambam Johor apabila suatu ketika peluang untuk menambah pingat seakan-akan sudah tertutup, namun tanpa disangka sesuatu di luar jangkaan berlaku, sekali gus melonjakkan mereka ke kedudukan podium.
Detik dramatik pada hari terakhir temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XXII Selangor 2026 di Dewan MBSJ, Serdang Jaya, hari ini, terjadi selepas Pasukan Silambam Johor pada awalnya terpaksa akur berada di kedudukan keempat bagi acara Irama Dengan Senjata Campuran, namun tuah menyebelahi apabila telah ‘dinaikkan pangkat’ ke tempat ketiga, sekali gus membawa pulang pingat gangsa susulan pasukan Perak tersingkir daripada persaingan akibat kesalahan teknikal.
Perubahan keputusan pengadil pertandingan bagi acara itu secara tidak langsung telah membuka peluang buat Johor yang mengumpulkan 10.6 mata menerusi persembahan bertenaga untuk mengakhiri saingan dengan pingat gangsa.
Lebih bermakna, pingat tersebut menjadi penutup manis buat Pasukan Silambam Johor yang terus menunjukkan semangat juang sehingga ke detik terakhir pertandingan bagi mengelakkan acara berkenaan berakhir tanpa sebarang kutipan pingat.
Secara keseluruhan, sepanjang tiga hari sukan Silambam berlangsung pada SUKMA kali ini, Pasukan Silambam Johor berjaya menyumbang empat pingat yang merangkumi dua pingat perak dan dua pingat gangsa.
#JohorSafeZone
#SUKMAXXII
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


