PROJEK KILANG TENUSU MODEN DI JOHOR TINGKAT PENGELUARAN SUSU TEMPATAN

Dengan tambahan lembu import dan pengoperasian penuh kilang, pengeluaran susu di Johor dijangka meningkat daripada 6.4 juta liter kepada 9 juta liter setahun, dan mencapai 13 hingga 15 juta liter menjelang tahun 2027, sekali gus menyokong agenda keterjaminan makanan dan pembangunan ekonomi negeri. | Foto MDJ Wira Anggara

 

#Mersing – Projek Lembah Tenusu Jemaluang (JDV) bergerak ke fasa seterusnya dengan pembangunan Kilang Tenusu JDV, sebagai langkah strategik Kerajaan Johor untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran susu segar tempatan dan memperkukuh keterjaminan makanan negara.

 

Kilang baharu ini dijangka menjadi hab pengeluaran susu bersepadu bertaraf dunia, lengkap dengan teknologi moden dan standard biosekuriti tinggi bagi memastikan setiap titisan susu yang dihasilkan berkualiti premium dan berdaya saing.

 

Fasiliti kilang yang akan dibangunkan kelak akan menyokong pengeluaran susu lembu import dari Australia yang mampu menghasilkan antara 27 hingga 30 liter sehari, dua kali ganda purata lembu tenusu tempatan, sekali gus meningkatkan produktiviti dan ketersediaan susu di pasaran domestik.

 

Pengoperasian JDV sebagai projek berimpak tinggi turut membuka peluang pekerjaan kepada masyarakat tempatan dan menyediakan latihan khusus kepada peladang bagi menguasai teknologi moden dalam penternakan serta pengeluaran susu segar.

 

Kerajaan Johor menghargai peranan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) dalam memastikan kelancaran projek, sekali gus menjadikan Mersing hab pengeluaran makanan bersepadu yang menyokong aspirasi negeri Johor sebagai hab makanan terunggul negara.

 

Dengan tambahan lembu import dan pengoperasian penuh kilang, pengeluaran susu di Johor dijangka meningkat daripada 6.4 juta liter kepada 9 juta liter setahun, dan mencapai 13 hingga 15 juta liter menjelang tahun 2027, sekali gus menyokong agenda keterjaminan makanan dan pembangunan ekonomi negeri.

 

Terdahulu, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor hadir menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Kilang Tenusu Jemaluang Dairy Valley, hari ini. Hadir sama, YB Dato’ Zahari Sarip, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor.

 

#JohorSafeZone
#JemaluangDairyValley
#LembahTenusuJohor
#KeterjaminanMakanan
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor