PROJEK PENGANGKUTAN AWAM DIGALAKKAN GUNA SISTEM TANPA TUNAI


Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Negeri Johor, Ir. Ts. Mohamad Fazli Mohamad Salleh | Unit Media dan Komunikasi Pejabat Menteri Besar Johor.

 

ISKANDAR PUTERI — Kerajaan negeri akan menggalakkan projek pembangunan pengangkutan awam di Johor pada masa akan datang, menggunakan sistem bayaran tanpa tunai.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Negeri Johor, Ir. Ts. Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, projek dimaksudkan adalah Bus Rapid Transit (BRT) dijangka beroperasi tahun 2025 dan Rapit Transit System (RTS) pada tahun 2026.

“Difahamkan, pembangun projek-projek ini seperti IRDA dan MRTCorp telah menyatakan hasrat penggunaan bayaran tanpa tunai untuk projek mereka,” katanya pada Mesyuarat Keempat (Belanjawan Johor 2023) Penggal Persidangan Pertama Dewan Negeri Johor Ke-15, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan lisan ADUN Stulang, Chen Kah Eng mengenai perancangan kerajaan untuk melaksanakan sistem bayaran tanpa tunai bagi sistem pengangkutan bas awam di Johor.

Mohamad Fazli berkata, bermula Mac lalu, pelaksanaan Program Perkhidmatan Bas Berhenti-henti (SBST) atau myBAS oleh Kementerian Pengangkutan di Johor, telah menggunapakai sistem bayaran tanpa tunai.

“Pengguna perlu menggunakan kad khas untuk menggunakan perkhidmatan bas ini,” katanya.

Selain itu, katanya, perkhidmatan Bas Muafakat Johor (BMJ) secara percuma sejak diperkenalkan pada tahun 2016 juga adalah dengan mengimbas Kad Muafakat Johor, namun menggunakan kad pengenalan pada tahun 2020.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor