PELABURAN RM700 JUTA PGB-GSP AUTOPARK CIPTA LEBIH 1,000 PELUANG PEKERJAAN

YB Dato’ Ir. Hasni Mohammad, Penasihat Ekonomi dan Pelaburan Negeri Johor merasmikan Majlis Pecah Tanah PGB-GSP AutoPark di Iskandar Puteri. | Foto FB Lee Ting Han

 

#IskandarPuteri – Johor terus mengukuhkan kedudukannya sebagai destinasi pelaburan utama di negara ini apabila projek PGB-GSP AutoPark bernilai RM700 juta secara rasmi memulakan pembinaan, sekali gus bakal mewujudkan lebih 1,000 peluang pekerjaan baharu kepada rakyat negeri ini.

 

Projek hasil kerjasama strategik antara Paragon Globe Berhad (PGB) dan syarikat automotif antarabangsa, GSP itu akan dibangunkan di kawasan seluas 47 ekar di Iskandar Puteri dan dijangka menjadi antara pemangkin penting kepada pertumbuhan industri automotif di Johor.

 

Pembangunan tersebut bukan sahaja berupaya menyediakan peluang pekerjaan berkualiti, malah ia juga dijangka merancakkan pertumbuhan industri sokongan, memperkukuh rantaian bekalan automotif serta membuka lebih banyak peluang perniagaan kepada syarikat tempatan apabila ia beroprerasi kelak.

 

Kejayaan merealisasikan pelaburan ini turut membuktikan keupayaan Johor untuk terus menarik keyakinan pelabur global dan menterjemahkan komitmen pelaburan kepada projek sebenar dalam tempoh yang singkat.

 

Pada April lalu, YAB Dato’ Onn Hafiz, Menteri Besar Johor, telah mengadakan pertemuan dengan pihak GSP semasa misi pelaburan Johor ke China, sebelum pelaburan tersebut berjaya direalisasikan beberapa bulan kemudian.

 

Projek PGB-GSP AutoPark juga dijangka mampu memberi limpahan ekonomi yang signifikan menerusi pembangunan bakat tempatan, penciptaan pekerjaan berpendapatan tinggi serta pengukuhan ekosistem industri automotif negeri.

 

Perkembangan ini selari dengan aspirasi Kerajaan Johor untuk terus memperkukuh kedudukan negeri ini sebagai hab pelaburan dan perindustrian berdaya saing, sekali gus mewujudkan lebih banyak peluang ekonomi kepada Bangsa Johor.

 

Terdahulu, YB Dato’ Ir. Hasni Mohammad, Penasihat Ekonomi dan Pelaburan Negeri Johor hadir merasmikan Majlis Pecah Tanah PGB-GSP AutoPark di Iskandar Puteri, hari ini. Turut hadir ialah YB Lee Ting Han, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Johor.

 

#JohorSafeZone
#PGBGSPAutoPark
#PelaburanJohor
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor