PROJEK RMMJ BUKA PELUANG RAKYAT MILIKI RUMAH PERTAMA

Pelaksanaan pelbagai projek RMMJ di seluruh Johor, disokong dengan pelbagai inisiatif perumahan, terus membuka peluang kepada lebih ramai Bangsa Johor untuk memiliki rumah pertama serta menikmati kehidupan yang lebih selesa bersama keluarga masing-masing. | Foto MDJ Nurina Aisyah

 

#IskandarPuteri – Pelbagai projek Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) yang dibangunkan oleh Kerajaan Johor di seluruh negeri ini terus membuka peluang kepada lebih ramai Bangsa Johor untuk memiliki rumah pertama, sekali gus merealisasikan impian rakyat untuk mempunyai kediaman sendiri yang lebih selesa dan selamat.

Bagi Muhammad Hafiz Roslan, 32, kepelbagaian projek RMMJ yang ditawarkan di seluruh Johor telah memberi peluang kepadanya untuk terus mencuba membuat permohonan sebelum akhirnya berjaya memiliki kediaman di Perumahan Iskandar Puteri Bangsa Johor, Tanjung Kupang.

Beliau turut berkongsi pengalaman apabila ramai rakan dan ahli keluarganya berjaya memiliki rumah menerusi inisiatif yang sama di beberapa lokasi lain di negeri ini, selain terdapat juga kenalannya yang menerima manfaat menerusi inisiatif Perumahan Kasih Johor, sekali gus membantu lebih ramai rakyat merealisasikan impian memiliki rumah pertama.

Sementara itu, Nurul Hidayah Mohd. Salleh, 36, meluahkan rasa syukur apabila berjaya memiliki rumah idamannya di Taman Tasik Indah, Kluang, sambil berharap lebih banyak projek seumpamanya dapat diteruskan agar lebih ramai rakyat turut berpeluang memiliki kediaman sendiri.

Menurutnya, penambahbaikan proses permohonan yang lebih mudah dan telus telah memberi keyakinan kepada pemohon bahawa setiap permohonan dinilai secara adil mengikut syarat yang telah ditetapkan.

Bagi Mohd. Faizal Ahmad, 35, yang membeli kediaman di Taman Pulai Mutiara, pelbagai inisiatif yang diperkenalkan Kerajaan Johor termasuk JHOME One Stop Centre serta kerjasama dengan institusi kewangan telah memudahkan lebih ramai rakyat merealisasikan impian memiliki rumah sendiri.

Untuk rekod, Kerajaan Johor telah mempermudahkan proses permohonan RMMJ dengan mengurangkan keperluan dokumen daripada 17 kepada lima dokumen sahaja, selain membolehkan permohonan dibuat secara dalam talian menerusi sistem eRumah Johor tanpa dikenakan sebarang bayaran.

Inisiatif RMMJ pula ditawarkan pada harga bermula sekitar RM42,000 hingga RM300,000 dan sebanyak 42,694 unit projek berkenaan telah diluluskan untuk pembangunan sehingga tahun 2030, dengan lebih 20,000 unit telah siap dibina serta sedia diduduki.

Justeru, pelaksanaan pelbagai projek RMMJ di seluruh Johor, disokong dengan pelbagai inisiatif perumahan, terus membuka peluang kepada lebih ramai Bangsa Johor untuk memiliki rumah pertama serta menikmati kehidupan yang lebih selesa bersama keluarga masing-masing.

#JohorSafeZone
#RumahMampuMilikJohor
#PerumahanKasihJohor
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor