PUSAT AKUATIK MBJB LARKIN MENEPATI PIAWAIAN ATLIT RENANG PARA


Presiden Persatuan Renang Para Johor, YB Alwiyah Talib memeriksa keadaan kolam renang Pusat Akuatik Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) Larkin. [Foto MDJ / Nurina Aisyah]

Presiden Persatuan Renang Para Johor, YB Alwiyah Talib berbesar hati mengumumkan Pusat Akuatik Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) Larkin sebagai lokasi pertama penganjuran Kejohanan Kebangsaan Renang Para 2023 yang akan berlangsung pada 11 dan 12 Disember ini.

Ia secara tidak langsung menjadikan Negeri Johor sebagai lokasi luar pertama menganjurkan kejohanan berkenaan selepas beberapa tahun ia diadakan secara berpusat di Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Selain itu, objektif kejohanan ini juga akan dapat memberi peluang kepada masyarakat setempat untuk turut serta menyaksikan acara yang dipertandingkan dan pada masa sama dapat memberi pendedahan tentang kesungguhan atlet para dalam bidang sukan renang para ini.

Kejohanan Kebangsaan Renang Para kali ini akan mempertandingkan 138 acara yang melibatkan 124 orang atlet para yang mewakili 11 negeri yang lain.

Pengarah Kejohanan Persatuan Renang Para Malaysia (PREPMA), Jeniffer Yong di sidang media Kejohanan Kebangsaan Renang Para 2023. [Foto MDJ / Nurina Aisyah]

Sementara itu, Pengarah Kejohanan Persatuan Renang Para Malaysia (PREPMA), Jeniffer Yong menyatakan bahawa Persatuan Renang Para Johor menjadi persatuan negeri pertama yang mengelolakan sirkit renang untuk atlet para. Beliau gembira melihat Pusat Akuatik Negeri Johor yang mempunyai fasiliti terbaik dan lengkap, selain turut menepati piawaian untuk semua atlet para yang akan bertanding kelak.

Sasaran kejohanan ini adalah untuk menyediakan atlet para yang kompetitif dan terbaik demi persediaan ASEAN Youth Para Games 2025 di Uzbekistan dan ASEAN Para Games 2026 di Thailand kelak.

 

#SukanMDJ #MediaDigitalJohor #SahihTepatPantas #MajuJohor