SEMUA SHOOTER JOHOR JEWELS PUNYA KUALITI YANG SAMA – BALQIS

Puteri Intan Balqis Ahmad Dzulkefli gembira dapat bersaing dengan pemain berkualiti, sekali gus meningkatkan mutu permainannya bagi musim baharu NSL. | Foto Johor Jewels
#IskandarPuteri – Puteri Intan Balqis Ahmad Dzulkefli, pemain Johor Jewels gembira apabila dapat bersaing bersama pemain berkualiti sekali gus meningkatkan mutu permainan beliau dengan kehadiran nama-nama besar dalam pasukan untuk musim baharu Netball Super League (NSL).
Balqis bermain di posisi penjaring gol (GS) bersaing hebat dengan An Najwa Azizan serta Gretel Bueta dan Farwiza Fauzi turut mengakui bahawa kesemua ‘shooter’ pasukan Johor Jewels musim ini mempunyai kualiti sama dan semuanya bersedia untuk diturunkan mengikut taktikal jurulatih.
Kehadiran dua pemain bintang antarabangsa juga menyaksikan dia dapat meningkatkan lagi permainan selain mempelajari ilmu bola jaring dengan lebih mendalam.
“Shooter Johor Jewels semua berada pada tahap dan intensiti yang sama tidak kira sama ada pemain utama mahupun pemain simpanan.
“Kami berlatih bersama dan berkongsi pengalaman bagi memastikan kami berada pada tahap terbaik dalam setiap perlawanan,” ujar beliau.
Pemain berusia 26 tahun itu teruja apabila dapat berkongsi gelanggang bersama-sama idola bola jaringnya, Laura Langman dan Gretel Bueta yang mana dia menganggap ianya sebagai peluang dan ruang buatnya belajar untuk mencapai tahap permainan yang lebih baik.
“Dua bintang itu sangat terkenal dalam dunia bola jaring dan mereka mempunyai lebih banyak pengalaman berbanding pemain-pemain tempatan. Kedua-dua nya juga banyak berkongsi ilmu bersama kami untuk meningkatkan lagi mutu permainan kami.
“Saya sangat teruja untuk bermain dengan mereka kerana sudah mengidolakan mereka sejak kecil dan saya gembira kerana kami bersaing secara sihat,” jelasnya.
Balqis dipilih sebagai ‘Queen Of The Court’ pada aksi itu turut gembira dengan jaringan ‘Super Shot’ nya selepas menghasilkan 14 mata buat Jewels ketika menewaskan Selangor Angels 77-37 pada Ahad.
Johor Jewels memulakan minggu pertama NSL dengan dua kemenangan selepas turut membenam cabaran Melaka Mystic 84-48 pada Sabtu.
Saingan minggu kedua NSL akan bersambung pada 25 dan 26 April dengan Jewels bakal berhadapan saingan Perak Phoenix dan Kedah Sunshine.
#JohorSafeZone
#JohorJewels
#NSL2026
#ReclaimTheCrown
#SukanMDJ
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


