SPR SERU PENGUNDI KELUAR MENGUNDI MENGIKUT MASA DIGALAKKAN

Pengundi disaran membuat semakan masa mengundi melalui aplikasi MySPR Semak dan merancang perjalanan lebih awal bagi mengelakkan kesesakan pada saat akhir. | Foto arkib MDJ

 

#IskandarPuteri – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyeru semua pengundi yang layak menunaikan tanggungjawab pada Pilihan Raya Umum Dewan Negeri (PRU DN) Johor Ke-16 untuk keluar mengundi mengikut cadangan Masa Keluar Mengundi Yang Digalakkan bagi memastikan proses pengundian dapat berjalan dengan lebih lancar dan teratur.

 

Justeru bagi maksud itu, semua pengundi disaran supaya merancang perjalanan serta mengelakkan keluar mengundi pada saat akhir dengan membuat semakan masa yang disyorkan menerusi aplikasi MySPR Semak, selain mendapatkan maklumat pusat mengundi lebih awal.

 

Pengundi juga masih boleh hadir mengundi pada bila-bila masa sepanjang tempoh pusat mengundi dibuka, iaitu dari jam 8.00 pagi hingga 6.00 petang atau mengikut waktu yang telah diwartakan bagi pusat mengundi masing-masing.

 

Seramai 43,036 petugas pilihan raya akan bertugas pada Hari Mengundi melibatkan 1,076 pusat mengundi di seluruh Johor bagi mengendalikan proses pengundian yang melibatkan seramai 2,682,642 pengundi berdaftar.

 

SPR juga telah selesai melaksanakan semakan terhadap semua peralatan pilihan raya termasuk peti undi, dakwat pilihan raya, kertas undi, petak undi serta kelengkapan lain pada 9 dan 10 Julai bagi memastikan setiap peralatan berkaitan berada dalam keadaan baik sebelum ia diagihkan kepada Ketua Tempat Mengundi di semua saluran.

 

Bangsa Johor bakal menunaikan tanggungjawab mengundi pada esok sempena PRU DN Johor Ke-16 bagi memilih wakil rakyat yang akan diberi mandat untuk menerajui pentadbiran negeri bagi tempoh lima tahun akan datang.

 

#JohorSafeZone
#PRUDNJohorKe16
#MehNgundi
#JohorMemilih
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas