TINDAKAN LEBIH MIKRO ATASI ISU TEKANAN AIR RENDAH


Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Negeri Johor, Ir. Ts. Mohamad Fazli Mohamad Salleh menerima taklimat daripada Ketua Pegawai Operasi Ranhill SAJ, Anuar Abdul Ghani | Sumber Foto Facebook Fazli Salleh.

 

ISKANDAR PUTERI — Kerajaan Johor meminta Ranhill SAJ bertindak lebih terperinci bagi mencari penyelesaian isu tekanan air rendah di seluruh negeri ini.

 

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Negeri Johor, Ir. Ts. Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, syarikat operator air itu diminta kenal pasti lokasi dan kaedah untuk mengatasi isu berkenaan.

 

“Saya diberi taklimat mengenai punca-punca masalah yang berlaku dan cadangan-cadangan yang akan dilaksanakan bagi memastikan kejadian serupa tidak berulang.

 

“Namun begitu, saya meminta pihak Ranhill SAJ lebih mikro dalam mengenalpasti lokasi dan kawasan yang menerima tekanan air rendah diseluruh negeri Johor serta jenis-jenis kaedah yang lebih spesifik bagi setiap lokasi tersebut,” kata beliau di Facebook rasminya, semalam.

 

Terdahulu, beliau bersama Ranhill SAJ telah mengadakan mesyuarat post-mortem masalah bekalan air yang berlaku semasa musim perayaan lalu.

 

Mohamad Fazli berkata, masih terdapat kawasan terputus bekalan air khususnya di Parit Sulong, Batu Pahat meskipun Ranhill SAJ sudah melaksanakan pelan mitigasi bagi mengelak masalah berkenaan berlaku sepanjang musim perayaan.

 

Selain itu, ujarnya, pelan mitigasi seterusnya akan dibentang dalam masa terdekat sebelum dilaksanakan khususnya bagi menghadapi musim perayaan Aidiladha serta musim cuti sekolah yang akan datang.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor