VIPER CHALLENGE PILIH JOHOR SEBAGAI LOKASI TETAP

Viper Challenge, acara perlumbaan sukan halangan terbesar Asia Tenggara dijadualkan berlangsung pada 23 dan 24 Ogos ini bertempat di kawasan Iskandar Puteri. | Foto MDJ Aisyah Mazalan
#IskandarPuteri – Viper Challenge, acara perlumbaan sukan halangan terbesar Asia Tenggara melakar sejarah baharu apabila menjadikan Iskandar Puteri sebagai lokasi tetap di selatan tanah air dan dijenamakan semula sebagai Viper Challenge Johor 2025 dibawakan Tourism Johor.
Penganjuran acara oleh MUSE Group yang dijadual berlangsung pada 23 dan 24 Ogos ini, mensasarkan penyertaan lebih 3,200 peserta dari Malaysia, Singapura, Indonesia dan negara Asia Tenggara lain sekali gus menjadi acara pemangkin menjelang Tahun Melawat Johor 2026.
Dengan sokongan strategik daripada pihak Biro Konvensyen dan Pameran Malaysia (MyCEB), acara berkenaan diyakini memberi impak besar kepada sektor pelancongan seterusnya memperkukuh kedudukan negeri serta negara dalam peta pelancongan sukan antarabangsa.
Bagi Viper Challenge Johor 2025, adrenalin dan kelasakan peserta akan teruji apabila bakal berdepan halangan ikonik Viper serba baharu yang lebih mencabar selain elemen pengalaman komuniti yang mengangkat semangat kekuatan fizikal, daya ketahanan dan kerjasama berpasukan.
Edisi kali ini yang mendapat sokongan padu pelbagai rakan penaja termasuk Fraser Place Puteri Harbour, Pinetree Marina Resort dan Trinidad Suites mempertandingkan kategori 7KM, 12KM, 21KM dan memperkenalkan Viper Kids bagi kanak-kanak berusia empat hingga 13 tahun.
Selain itu, antara rakan penaja lain adalah Hard Rock Cafe Puteri Harbour, Yogood, Revive Isotonic, Gatorade, Goodday Charge, Plan B Physiotherapy dan Eprotape serta UEM Sunrise Berhad yang menjadikan Iskandar Puteri sebagai lokasi utama.
Penganjuran Viper Challenge memperkukuh kedudukan Johor sebagai hab acara sukan berskala besar menawarkan pengalaman bertaraf antarabangsa dinanti penggemar sukan lasak dan memperkayakan aktiviti dalam kalendar pelancongan Johor.
#ViperChallenge
#TourismJohor
#SukanMDJ
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor