FOREST CITY TERUS TARIK MINAT PELABUR DOMESTIK, GLOBAL


Zon Kewangan Khas Forest City (FCSFZ). | Foto MDJ Nurina Aisyah

 

#IskandarPuteri – Selepas diumumkan pelaksanaan Zon Kewangan Khas di Forest City (FC-SFZ) dan sebagai Flagship G susulan pemeteraian perjanjian Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), Forest City telah menarik minat ramai pelabur untuk melabur di kawasan berkenaan.

 

Sehingga kini, YBhg. Syarul Izam Sarifudin, Timbalan Presiden Country Garden Pacificview Sdn. Bhd. memaklumkan sebanyak 11 syarikat pelabur domestik dan antarabangsa menunjukkan minat untuk beroperasi di FC-SFZ, flagship khusus dalam sektor perkhidmatan kewangan.

 

Lawatan kerja delegasi Kerajaan Negeri pimpinan YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor ke Pusat Kewangan Antarabangsa Dubai (DIFC) di Emiriah Arab Bersatu (UAE) baru-baru ini, juga telah menarik minat pelabur sektor kewangan terhadap FC-SFZ.

 

Forest City kini secara perlahan muncul sebagai projek hartanah utama di rantau ASEAN dengan memanfaatkan pelbagai dasar dan insentif seperti FC-SFZ, Pulau Bebas Cukai dan JS-SEZ sekali gus bersedia memainkan peranan penting menarik pelaburan, mencipta pekerjaan dan mendorong pertumbuhan ekonomi negara.

 

Bagi menjayakan FC-SFZ, Forest City bakal menganjurkan lebih banyak seminar khususnya berkaitan topik berkepentingan buat pelabur dan akan melancarkan pra-tempahan fasa pertama unit komersial bagi tahun 2025 melibatkan unit komersial dan Small Office Flexible Office (SOFO).

 

Forest City juga terus komited menyokong pertumbuhan ekonomi dan infrastruktur kawasan sekitar khususnya di Gelang Patah bagi meningkatkan lagi daya tarikan kawasan berkenaan pada masa depan agar menjadi destinasi pilihan menerusi pelbagai kemudahan yang tersedia.

 

#ForestCity
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor