‘FRIENDS OF JOHOR’ PERKUKUH RANTAIAN PELABURAN DENGAN CHINA

Johor turut berkongsi inisiatif utama negeri termasuk Pusat Memudahcara Pelaburan Malaysia di Johor (IMFC-J) sebagai pusat pemudah cara pelaburan sehenti serta Majlis Pembangunan Bakat Johor (JTDC) yang memacu pembangunan bakat dan tenaga kerja berkemahiran bagi memenuhi keperluan industri. | Foto FB Onn Hafiz Ghazi
#IskandarPuteri – Kerajaan Negeri melancarkan inisiatif ‘Friends of Johor’, sebuah platform yang diwujudkan sebagai jambatan pelaburan jangka panjang antara Johor dan rakan-rakan strategik di China, selain ia turut berfungsi sebagai rantaian pelaburan yang menghubungkan pelabur secara terus dengan rakan strategik bagi memastikan pelaburan dirancang dapat dilaksanakan dengan tersusun, lancar dan berimpak tinggi kepada pembangunan negeri.
Selain itu, lawatan rasmi delegasi Kerajaan Johor ke Shanghai ini telah memberi tumpuan kepada sesi perbincangan meja bulat bersama Maybank dan Dewan Perniagaan dan Industri Malaysia di China (MAYCHAM) yang turut menghimpunkan lebih 30 pelabur serta syarikat utama dari China, sekali gus mencerminkan keyakinan pelabur terhadap potensi Johor sebagai destinasi pelaburan pilihan.
Menerusi kerangka inisiatif Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ), Johor terus diposisikan sebagai destinasi pelaburan utama serantau dengan penekanan kepada sektor bernilai tinggi seperti industri termaju, tenaga bersih, logistik pintar, kewangan digital, industri halal dan kesihatan yang berpotensi membuka lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti kepada rakyat Johor.
Selain itu, Johor turut berkongsi inisiatif utama negeri termasuk Pusat Memudahcara Pelaburan Malaysia di Johor (IMFC-J) sebagai pusat pemudah cara pelaburan sehenti serta Majlis Pembangunan Bakat Johor (JTDC) yang memacu pembangunan bakat dan tenaga kerja berkemahiran bagi memenuhi keperluan industri.
Kerjasama erat bersama rakan strategik ini dilihat amat penting bagi menyokong kemasukan pelabur ke Johor secara lancar, tersusun dan mampan, selari dengan aspirasi negeri untuk memperkukuh pertumbuhan ekonomi serta kesejahteraan rakyat. Ia secara tidak langsung memperluas limpahan ekonomi negeri, membuka peluang pekerjaan, meningkatkan pendapatan rakyat serta memberi nilai tambah kepada kualiti hidup Bangsa Johor.
Terdahulu, delegasi Kerajaan Negeri Johor ke Shanghai, China diketuai sendiri oleh YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor, diikuti YB Tuan Lee Ting Han, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Johor serta YB Dato’ Ir. Hasni Mohammad, Penasihat Ekonomi Negeri Johor.
#JohorSafeZone
#WTN
#JohorHomeOfChampions
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas



