GANGGUAN BEKALAN AIR PULIH SECARA BERPERINGKAT

YB Tuan Ir. Ts. Mohamad Fazli Mohamad Salleh, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Negeri Johor bersama YBhg. Tuan Mohd Masni Wakiman, Pegawai Daerah Johor Bahru mengadakan lawatan bagi meninjau proses penghantaran air mineral di LRA Sultan Ismail, Skudai. | Foto MDJ Wira Anggara

 

#JohorBahru – Bekalan air di beberapa kawasan sekitar Johor Bahru dijangka pulih secara berperingkat susulan komitmen berterusan Kerajaan Negeri bersama agensi berkaitan menggembling tenaga mengatasi gangguan yang berlaku.

 

Setakat jam 4 petang tadi, sebanyak 52,965 daripada 155,070 akaun pengguna kawasan Zon Tiram, Tebrau, Kempas dan Bandar menerima semula bekalan air bersih dengan kerja-kerja baik pulih yang masih giat dilakukan di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Johor.

 

Sebanyak 51 lori tangki air telah digerakkan di mana 12 daripadanya diletakkan di hospital manakala baki 39 ditempatkan di lokasi strategik dalam kawasan terjejas bagi membolehkan penduduk mendapatkan bekalan air bersih dengan lebih mudah.

 

Selain itu, Kerajaan Negeri menggerakkan lapan lori muatan berat bagi mengagihkan lebih 13,000 karton air mineral kepada pengguna terjejas melibatkan Zon Tiram, Bandar, Bukit Indah, Iskandar Puteri, Kempas dan dua zon di Skudai.

 

Kerosakan luar jangka pada pam-pam utama yang menyalurkan air ke LRA Sungai Johor menyebabkan operasi loji rawatan terbabit terpaksa dihentikan hingga mengakibatkan gangguan bekalan berlaku di beberapa kawasan di Johor Bahru.

Terdahulu, YB Tuan Ir. Ts. Mohamad Fazli Mohamad Salleh, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Negeri Johor bersama YBhg. Tuan Mohd Masni Wakiman, Pegawai Daerah Johor Bahru mengadakan lawatan bagi meninjau proses penghantaran air mineral di LRA Sultan Ismail, Skudai, hari ini.

 

#GangguanBekalanAir
#KerajaanNegeriProaktif
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor