GASTRODIPLOMACY: CARA ‘UNIK’ KDYMM SULTAN IBRAHIM DAN DYAM TUNKU MAHKOTA ISMAIL PULIH, ERAT, KUKUH PERPADUAN


KDYMM SPB Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan meluangkan masa santap tengah hari bersama YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri di sebuah restoran asam pedas terkenal di Johor Bahru. | Foto ihsan Royal Press Office

 

 

Oleh: Badrul Kamal Zakaria
Editor Kanan Media Digital Johor

 

 

 

Suatu ketika dahulu… kita boleh bermain bersama, tidur sebantal, bermimpi tentang cita-cita yang sama. Tidak kira apa jua bangsa, agama, etnik, darjat dan budaya, kerukunan hidup hasil daripada gagasan konsep ‘Bangsa Johor’ diraikan, dipegang dan dijunjung demi memajukan negeri yang tercinta.

 

Kita pernah hidup seperti ‘Serumpun Bak Serai, Sesusun Bak Sirih’. Segala suka duka, pahit manis, senyum tangis dan jatuh bangun dikongsi secara bersama. Baik sewaktu menerima ancaman kolonial barat yang haloba, penderitaan ketika pendudukan imperialis kejam Jepun, keganasan di zaman darurat hingga ke era kemerdekaan negara, semua itu berjaya dilalui dengan jayanya dan hasilnya adalah apa yang kita kecapi hari ini.

 

Mengambil dialog popular Wak Mustar dalam filem Pendekar Bujang Lapok, “Ish-Ish, Angin Tak Ada, Ribut Tak Ada, Tau-Tau Hujan”, nilai perpaduan yang diasaskan oleh datuk nenek moyang kita dahulu kala tidak semenanya menjadi rapuh, berantakan dan hampir berderai tanpa diketahui asbab musabab serta hujung pangkalnya.

 

Secara tiba-tiba… wujud rasa curiga, timbul provokasi, semangat toleransi dan bantu membantu diganti ‘kau-kau, aku-aku’. Agenda sempit perkauman mula dinyalakan, niat untuk kepentingan diri sendiri telah menjadi keutamaan.

 

Dalam kegoyahan dan kerapuhan perpaduan yang dilihat seolah-olah tiada berpenghujungnya, mujurlah kita direzekikan dengan kehadiran dua insan berkaliber iaitu KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor. Sejak dari awal lagi, kedua-dua tokoh negarawan ini secara konsisten terus memberi fokus kepada soal perpaduan yang menjadi kata kunci untuk kemajuan dan kemakmuran.

Namun kali ini penulis secara peribadi melihat KDYMM Sultan Ibrahim dan DYAM Tunku Mahkota Ismail mencuba pendekatan yang lebih unik demi memastikan tahap perpaduan mutakhir ini bukan sahaja dapat dipulihkan semula, tetapi ia akan terus dipererat dan diperkukuhkan menerusi ‘Gastrodiplomacy’ atau Diplomasi Kulinari atau bahasa mudahnya adalah diplomasi yang dilakukan menerusi makanan.

 

Penulis juga secara peribadi berpandangan, inisiatif yang dilakukan oleh Baginda Berdua adalah sesuatu yang sangat genius, menakjubkan dan lain dari yang lain. Ia adalah antara antara cara terbaik dan memenangi hati serta semua pihak menerusi makanan. Sudah menjadi lumrah, semua manusia akan terdiam apabila kenyang dan kembali ‘merengek’ apabila lapar.

 

Seperti yang kita ketahui, makanan adalah antara perkara penting dalam kehidupan manusia. Kita tidak mungkin dapat bertahan hidup tanpa air dan makanan. Malah, menerusi makanan juga kita dapat ‘lebih mengenali’ gaya hidup, personaliti dan mungkin juga latar belakang seseorang itu. Ia juga menjadi instrumen ke arah pemupukkan kesinambungan budaya yang boleh mencapai kesefahaman, meningkatkan interaksi serta kerjasama yang lebih positif.

 

Gastrodiplomacy mengikut sejarahnya juga telah dilakukan oleh kerajaan Yunani suatu ketika dahulu, malah perkara ini juga dilaksanakan di Peranchis dan Itali hingga mewujudkan satu kebanggaan dan identiti bagi negara bangsa terbabit. Malah pelbagai negara dari dahulu hingga sekarang, makanan seolah-olah seorang ‘duta’ bagi sesebuah negara.

 

Namun kali ini sama sekali berbeza walaupun ia mempunyai naratif, maksud dan tujuan yang sama. Tindakan ‘genius’ daripada KDYMM Sultan Ibrahim dan DYAM Tunku Mahkota Ismail walaupun ia dilakukan secara ‘non-verbal’ namun ia tetap memberi mesej yang jelas khususnya dengan kehadiran YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia.

 

Penulis cuba menghayati apa mesej ‘mustashabihat’ dan juga perkara ‘muhkamat’ yang dilakukan oleh Baginda Berdua dan sudah pasti ia bukan sesuatu secara kebetulan kerana sebagai pemerintah dan ketua negara, sudah tentu ia dilakukan seperti kata peribahasa ‘Berunding Cerdik Dengan Pandai, Faham Dua Menjadi Satu’.

 

Sebagai seorang yang berjiwa besar dan sayang serta cakna akan rakyatnya, Baginda Berdua sanggup mengambil risiko. Pertama sekali, KDYMM Sultan Ibrahim dan DYAM Tunku Mahkota Ismail mencemar duli di Restoran Asam Pedas Botak hingga timbulnya soal adakah restoran itu halal untuk dimakan hanya kerana ia dimasak oleh seorang bukan Islam?. Tidak lama kemudian, KDYMM Sultan Ibrahim sekali lagi menjadi tajuk perbincangan ‘netizen’ apabila turut bersantap di Kopitam Hua Muai, sebuah kedai makan ‘legend’ di Johor Bahru dan kemudiannya turut ke Kopi Tenggek.

 

Di sini timbulnya polemik antara dua darjat apabila isu keberangkatan Baginda ke kedua-dua kedai makan yang diusahakan oleh bukan Islam terus menjadi tajuk pendebatan, manakala kunjungan Baginda ke premis Kopi Tenggek di Pontian terus dilupakan hanya kerana ia diusahakan oleh seorang Muslim.

 

Adat bersendi hukum, hukum bersendi syarak, syarak bersendi Kitabullah. Sebagai seorang Islam dan raja yang memerintah, KDYMM Sultan Ibrahim sudah tentu amat arif tentang soal halal haram. Selain itu, KDYMM Seri Paduka Baginda juga mempunya ramai pegawai agama yang amat arif dengan hal hukum agama dan pada bila-bila masa sahaja boleh menasihati terutama berkaitan hukum syarak.

 

Bagi penulis, di sini sekali lagi terserlah kebijaksanaan KDYMM Sultan Ibrahim dan DYAM Tunku Mahkota Ismail. Sekiranya sesuatu itu halal, ia akan tetap halal. Bagi penulis, tindakan Baginda Berdua boleh diibaratkan sebagai ‘serampang dua mata’.

 

Pertama, dengan kehadiran Baginda Berdua, sudah tentu pemilik premis berkenaan akan berusaha untuk mendapatkan sijil pengesahan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan segera.

Kedua, premis makanan yang diusahakan oleh bukan Islam juga akan sedaya upaya mengekalkan, memastikan dan menjaga status sijil halal yang diperolehinya memandangkan ia ‘mendapat promosi percuma’ daripada kehadiran tetamu diRaja dan bakal mendapat lebih ramai pelanggan daripada orang Islam sendiri. Kedua-dua perkara ini sahaja sudah menjadi strategi ‘marketing’ bagi perniagaan itu sendiri.

 

Ketiga, sudah pasti ‘gastrodiplomacy’ yang digerakan oleh Baginda berdua ini akan menjadi contoh ikutan kepada pengusaha restoran yang lain untuk sama-sama berusaha mendapatkan pengesahan halal di premis masing-masing. Ini kerana, dengan majoriti penduduk di Johor dan Malaysia adalah beragama Islam, sudah tentu soal berkaitan halal haram menjadi antara keutamaan kepada perniagaan khususnya berkaitan makanan.

 

Lebih memberangsangkan, Halal Development Corporation Berhad (HDC) pada 20 Januari lalu memaklumkan lebih 70 peratus daripada pemegang pensijilan halal di Malaysia didominasi oleh syarikat bukan Bumiputera dan kesemua syarikat ini mematuhi piawaian ketat yang diletakkan oleh JAKIM.

 

Bercakap di luar tajuk, kadang-kadang penulis juga turut ‘penasaran’. Dewasa ini, pelbagai hidangan dari dalam dan luar negara cukup mudah untuk didapati. Jika berhajatkan nasi Arab, keluar rumah sahaja dah jumpa nasi Arab… Inginkan makanan ala Barat, Korea, Indonesia, Vietnam, Mexico dan lain-lain pun mudah didapati. Tak ingin keluar rumah? Grab dan Food Panda sedia berkhidmat.

 

Tetapi penulis ingin bertanya. Kenapakah kalau makanan berkenaan tidak ditanya dan disoalkan tentang halal haramnya? Mengapakah timbulnya ‘pilih bulu’ dalam isu ini. Orang kita pun kadang kala terlebih Arab dari Arabnya, terlebih Mat Salleh dari Mat Salleh itu sendiri, terlebih K-POP dari orang Korea…. kadang kala penulis tersenyum tersendirian apabila melihat menu tempatan yang terlebih ‘cheese’ daripada orang Itali, Belanda dan Peranchis.

 

Akhir sekali, penulis berpendapat taktik ‘gastrodiplomacy’ yang dicetuskan oleh KDYMM Sultan Ibrahim dan DYAM Tunku Mahkota Ismail akan mencapai sasarannya tidak lama lagi. Pada saat itu, kita sekali lagi akan dapat menyaksikan semua kaum tanpa mengira latar belakang, agama dan pangkat akan sekali lagi dapat duduk bersama-sama menikmati pelbagai hidangan seperti nasi lemak, tosai, mi hailam di bawah satu bumbung…. Macam Dulu-Dulu !.

#RajaKitaSelamatBertakhta
#JohorMestiJadiJohor
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor