GEGAR 2024 TAWAR 5,000 PELUANG PEKERJAAN


Gerak Kerjaya Mega MYFuture Jobs Johor (GEGAR) 2024. | Foto MDJ Wira Anggara

 

Inisiatif Kerajaan Negeri menyediakan peluang pekerjaan untuk dimanfaatkan oleh rakyat diteruskan menerusi penganjuran Gerak Kerjaya Mega MYFuture Jobs Johor (GEGAR) 2024 menawarkan lebih 5,000 jawatan kosong oleh 50 majikan ternama daripada 11 sektor utama yang berlangsung di Stadium Tertutup MBJB Arena Larkin pada 26 hingga 28 Julai ini.

 

Antara sektor diketengahkan melalui peluang pekerja ditawarkan sempena edisi kali ini adalah pembuatan, pembinaan, logistik, hospitaliti, perkhidmatan, minyak dan gas, perhotelan dan pelancongan, hartanah, peruncitan, tenaga dan pertanian yang telah memanfaatkan lebih 3,000 pencari kerja pada tahun lalu.

 

Program anjuran Unit Strategik Modal Insan Negeri Johor (SMI) bersama Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Johor Petroleum Development Corporation Berhad (JPDC) yang melibatkan peruntukan RM600,000 itu menterjemahkan komitmen Kerajaan Negeri dalam menyediakan tenaga kerja berkemahiran serta berpendapatan tinggi.

 

Membabitkan kerjasama strategik dengan pemain industri daripada pelbagai sektor, GEGAR 2024 menjadi platform membantu rakyat terutama pelajar lepasan sekolah, graduan universiti atau pencari kerja yang aktif untuk menyesuaikan kemahiran, pengetahuan dan latar belakang pendidikan dimiliki mengikut permintaan pasaran kerja semasa.

 

Selain menyediakan peluang pekerjaan, Tazrina Ahmad selaku Pengurus Besar SMI memberi komitmen GEGAR 2024 turut menjadi platform pembinaan rangkaian hubungan profesional antara bakat dengan industri yang diyakini dapat membentuk modal insan berdaya saing serta berpengetahuan.

 

Di samping itu, GEGAR 2024 bakal menampilkan kelainan yang dibawakan oleh PERKESO apabila memperkenalkan ‘Gamification Station’ sebagai kaedah temu duga baharu dalam menilai aktiviti fizikal pencari kerja seterusnya membolehkan majikan mengenal pasti personaliti calon melalui aspek kepimpinan, kerjasama pasukan dan keefisienan pengurusan kerja.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor