HADIAH ‘CNY’ UNTUK MASYARAKAT TIONG HUA


YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, diiringi YB Tuan Ling Tian Soon, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor dan YB Tuan Lee Ting Han, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Johor meraikan kira-kira 1,000 masyarakat Tiong Hua dari seluruh Johor pada Majlis Jamuan Silaturahim Tahun Baharu Cina. | Foto MDJ Nurina Aisyah

 

#PasirGudang – Menjelang sambutan Tahun Baharu Cina tidak lama lagi, Kerajaan Johor memberikan hadiah istimewa khas kepada masyarakat dari kaum Tiong Hua di negeri ini apabila mengumumkan pemberian 11 inisiatif yang membabitkan jumlah keseluruhan bernilai RM5.97 juta.

 

Berita baik tersebut diumumkan sendiri oleh YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor ketika berucap pada Majlis Jamuan Silaturahim Tahun Baharu Cina yang berlangsung di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Cina (SMJKC) Foon Yew, Seri Alam, malam ini.

 

Antara ‘ang pau’ yang diumumkan oleh YAB Dato’ Onn Hafiz termasuklah peruntukan sebanyak RM1 juta kepada Yayasan Sultanah Fatimah, sumbangan bernilai RM1.5 juta yang akan memanfaatkan kira-kira 3,000 pelajar dari 10 SMJKC di seluruh negeri Johor serta RM1 juta buat 200 pelajar yang menuntut Kolej Universiti Selatan.

 

Berpegang kepada semangat ‘Muafakat itu Berkat’ dan inspirasi konsep Bangsa Johor, Kerajaan Negeri turut menyalurkan peruntukan RM500,000 kepada rumah ibadat bukan Islam serta RM250,000 kepada pihak Tokong Cina Lama, Johor Bahru.

 

Selaku tuan rumah bagi Majlis Jamuan Silaturahim Tahun Baharu Cina, SMJKC Foon Yew juga tidak ketinggalan untuk turut menerima berita baik sempena kehadiran Tahun Ular kali ini apabila Kerajaan Negeri bersetuju untuk memberi pengecualian cukai taksiran harta yang akan diselesaikan dalam tempoh tiga bulan.

 

Terdahulu, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, diiringi YB Tuan Ling Tian Soon, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor dan YB Tuan Lee Ting Han, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Johor meraikan kira-kira 1,000 masyarakat Tiong Hua dari seluruh Johor pada majlis makan malam itu yang diadakan sempena Tahun Baharu Cina.

 

#GongXiFaCai
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas