HAMPIR 4,000 UNIT RUMAH MAMPU MILIK DITAWAR SEMPENA JPEX 2025

YB Dato’ Mohd Jafni Md Shukor, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor menyempurnakan perasmian Pelancaran Projek RMMJ sempena JPEX 2025 di Padang Akasia, Angsana Johor Bahru Mall. | Foto MDJ Wira Anggara
#JohorBahru – Hampir 4,000 unit rumah dan kedai kos sederhana ditawarkan sempena Johor Property Expo (JPEX) 2025 mencerminkan kesungguhan Kerajaan Negeri dalam memastikan rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah dan sederhana terus diberikan akses memiliki kediaman selesa serta berkualiti.
Sebanyak 14 projek melibatkan 2,477 unit rumah mampu milik dan 117 kedai kos sederhana kini dibuka untuk permohonan bermula hari ini merangkumi lapan projek iaitu 2,222 unit di Johor Bahru diikuti tiga projek yang menyediakan 501 unit di Batu Pahat, dua projek (432 unit) di Kulai dan sebuah projek (86 unit) di Pontian iaitu perumahan mampu milik pertama di daerah tersebut.
JPEX 2025 turut menyediakan informasi dan showcase lebih 11,000 unit rumah mampu milik menjelang hujung tahun 2026 dengan harga bermula serendah RM50,000 hingga RM300,000 merangkumi pelbagai kategori selari pendekatan proaktif Kerajaan Negeri dalam menangani isu perumahan sekali gus menjadi satu-satunya negeri menganjurkan ekspo hartanah yang menawarkan rumah mampu milik kepada rakyat.
Komitmen berkenaan diperkukuhkan lagi menerusi dasar progresif perumahan Johor mewajibkan sekurang-kurangnya 40 peratus komponen projek perumahan mampu milik bagi setiap pembangunan pada harga rumah disubsidi sama ada oleh Kerajaan Negeri mahupun pemaju selain tawaran diskaun sehingga 15 peratus untuk lot Bumiputera.
Komitmen Kerajaan Negeri menyediakan 100,000 unit RMMJ menjelang tahun 2030 di seluruh negeri ini, sedang giat dilaksanakan secara berfasa dengan sebanyak 17,741 unit daripadanya berjaya disiapkan setakat suku pertama 2025, manakala 12,259 unit lagi kini dalam pembinaan selain sasaran 70,000 unit untuk dibina dalam fasa kedua bermula 2027 hingga 2030.
Terdahulu, YB Dato’ Mohd Jafni Md Shukor, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor menyempurnakan perasmian Pelancaran Projek RMMJ sempena JPEX 2025 di Padang Akasia, Angsana Johor Bahru Mall. Hadir sama, YB Datin Paduka Dr. Suhailizan Suliman, Ketua Eksekutif Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor (PKPJ).
#JPEX2025
#PerumahanJohor
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor