HARAP PROJEK RTB DIPERCEPATKAN


YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor mengadakan lawatan ke beberapa PPS yang dibuka di Kota Tinggi. | Foto MDJ Nurina Aisyah

 

#KotaTinggi – Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) yang kini sedang giat dilaksanakan oleh Kerajaan Johor dengan kerjasama Kerajaan Persekutuan menjadi harapan besar kepada penduduk di daerah Kota Tinggi untuk disiapkan secepat mungkin bagi mengurangkan risiko banjir besar yang sering melanda daerah berkenaan setiap tahun.

 

Penduduk daerah Kota Tinggi, Fatimah Khamid, 57, menzahirkan harapan agar pelaksanaan RTB dapat dipercepatkan supaya kekerapan banjir yang melanda daerah itu dapat dikurangkan, sekali gus menjamin keselamatan penduduk setempat selain meyakini projek berkenaan mampu memberi perlindungan lebih baik dari kejadian banjir serta mengurangkan kerugian yang ditanggung akibat bencana itu.

 

Sementara itu, Mohd Nazarul Aqram Mohd Karim, 28, pula menyifatkan inisiatif RTB ini juga menjadi bukti keprihatinan Kerajaan Johor terhadap kebajikan rakyat dan wajar disambut baik serta mendapat sokongan penuh daripada rakyat agar limpahan manfaatnya akan dapat dirasai seluruh penduduk di Kota Tinggi pada masa akan datang.

 

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri atas komitmen berterusan dalam menyalurkan bantuan dan keperluan kepada mangsa banjir serta tindakan segera yang telah diambil oleh agensi keselamatan dalam memindahkan penduduk yang terjejas bencana itu ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

 

Kerajaan Johor sebelum ini juga telah mengumumkan tiga projek utama RTB di daerah Kota Tinggi, iaitu RTB Sungai Johor Fasa 1 (Pakej 1), RTB Sungai Johor Fasa 1 (Pakej 2) dan RTB Sungai Pemandi bagi mengurangkan risiko banjir serta memastikan penduduk dapat menjalani kehidupan seharian dengan lebih selesa dan selamat.

 

Terdahulu, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor mengadakan lawatan ke beberapa PPS yang dibuka di Kota Tinggi iaitu PPS Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) New Kota; PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Dato’ Usman Awang; PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Laksamana dan PPS Sekolah Rendah Agama Bersepadu (SRAB) Kota Tinggi.

 

Lawatan ini turut disertai YB Aznan Tamin, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor; YB Dato’ Hj. Ismail Abu, Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Pengurusan); YBhg. Tuan Haji Miswan Yunus, Pegawai Daerah Kota Tinggi dan Pathmanathan R. Nalasamy, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Johor (JKM).

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor