HATRIK DYAM TUNKU MAHKOTA ISMAIL BAWA ROYAL JOHOR KE FINAL JSCPT 2026

Kemenangan itu membawa Royal Johor ke final JSCPT 2026, kejohanan polo berhandikap tertinggi pernah dianjurkan di Malaysia ketika ini yang menghimpunkan barisan pemain bertaraf dunia. | Foto Johor Southern Tigers
#IstanaPasirPelangi – Sentuhan dan penyudah jitu yang dipamerkan DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor, membantu Royal Johor menewaskan JCorp 9-5 dalam separuh akhir Johor Super Crown Polo Tournament (JSCPT) 2026 di Royal Johor Polo Club (RJPC), Istana Pasir Pelangi, hari ini.
Pertembungan tumpuan itu bermula rancak seawal chukka pertama apabila Juan Martin Nero membuka jaringan sebelum Gasto Carozzo menggandakan kelebihan, namun Gonzalo ‘Gonzalito’ Pieres segera merapatkan kedudukan buat JCorp.
Pablo ‘Polito’ Pieres kemudiannya menambah dua gol buat Royal Johor, manakala Marcos ‘Cacu’ Araya dan Gonzalo Pieres masing-masing menyumbang satu jaringan untuk JCorp dalam persaingan sengit pada tempoh awal permainan.
Sebagai antara pemain elit dunia, Polito turut mencuri perhatian penonton menerusi kemahirannya mengawal dan membawa bola sambil menunggang kuda sebelum melakukan pukulan yang hampir menghasilkan jaringan buat Royal Johor.
Juan Martin Nero sekali lagi menemui sasaran pada chukka ketiga sebelum Gonzalo Pieres membalas buat JCorp, menyaksikan Royal Johor menamatkan chukka tersebut dengan kelebihan 5-3.
Memasuki chukka keempat, DYAM Tunku Mahkota Ismail turun beraksi dan terus memberi impak apabila meledak gol untuk membantu Royal Johor melebarkan kelebihan.
Royal Johor kemudian terus menguasai permainan apabila Polito menghasilkan dua lagi jaringan pada chukka kelima sebelum DYAM Tunku Mahkota Ismail melengkapkan hatrik dengan dua gol tambahan, termasuk menerusi pukulan jarak jauh 60 ela, untuk meletakkan pasukan di depan 9-3.
JCorp cuba merapatkan jurang menerusi YBhg. Dato’ Quzier Ambak yang menyempurnakan peluang untuk gol kelima, namun Royal Johor kekal tenang mengawal permainan sehingga tamat bagi mengesahkan kemenangan 9-5.
Kemenangan itu membawa Royal Johor ke final JSCPT 2026, kejohanan polo berhandikap tertinggi pernah dianjurkan di Malaysia ketika ini yang menghimpunkan barisan pemain bertaraf dunia.
Royal Johor bakal membuat perhitungan terakhir dengan Temasek di pentas final JSCPT 2026 pada Ahad ini, sekali gus menjanjikan pertembungan sengit antara dua pasukan terbaik bagi merebut kejuaraan dalam kejohanan berprestij itu.
#JohorSuperCrown2026
#PoloTournament2026
#RoyalJohorPoloClub
#LegacyInMotion
#SukanMDJ
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


