HAYATI PRINSIP KESETIAAN KEPADA RAJA DAN NEGARA


Prof. Madya Dr. Mohd Azhar Abd Hamid, Ketua Penyelidik, Kumpulan Penyelidikan Kenegaraan dan Kesejahteraan Sosial, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) | Foto MDJ Wira Anggara

 

Prinsip Rukun Negara kedua iaitu Kesetiaan kepada Raja dan Negara perlu dihayati oleh generasi muda hari ini bagi memastikan mereka dapat memahami falsafah itu selari dengan status Malaysia sebagai sebuah negara berdaulat yang menjunjung prinsip Raja Berpelembagaan.

 

Prof. Madya Dr. Mohd Azhar Abd Hamid, Ketua Penyelidik, Kumpulan Penyelidikan Kenegaraan dan Kesejahteraan Sosial, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), menyeru generasi muda untuk terus menumpahkan taat setia kepada raja dan negara serta tidak memandang remeh peranan institusi Yang di-Pertuan Agong sebagai payung rakyat dan keamanan negara.

 

Ujarnya, generasi muda juga perlu memahami kedudukan institusi Yang di-Pertuan Agong yang perlu disanjung tinggi pada setiap masa dan bukan terhad kepada upacara ‘ceremonial’ atau istiadat semata-mata kerana ia merupakan institusi tertinggi negara sebagaimana yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.

 

Malah, simbolik institusi Yang di-Pertuan Agong sebagai payung rakyat boleh dilihat menerusi ketegasan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim ketika merasmikan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen Ke-15 yang menitahkan semua ahli Parlimen untuk bekerjasama membangunkan negara demi kepentingan rakyat.

 

Mohd Azhar turut menyifatkan kebitaraan pemerintahan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim sejak mengangkat sumpah pada 31 Januari lalu telah dizahirkan menerusi sinergi baginda selaku Ketua Negara Malaysia dan YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri dalam memacu Malaysia keluar dari kancah ketidakstabilan politik dan sekali gus menyokong kepada usaha pemulihan ekonomi.

 

Justeru, generasi muda diseru meningkatkan literasi dan penghayatan kenegaraan dengan mengambil cakna terhadap isu-isu hal ehwal semasa bagi mendalami fungsi Yang di-Pertuan Agong sebagai tunjang yang menjaga Perlembagaan Persekutuan, kesucian agama Islam, bahasa Melayu dan hak istimewa orang Melayu serta hak kewarganegaraan bukan Melayu.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor