HOSPITAL SULTANAH NORA ISMAIL TERIMA TAJAAN PERALATAN, PERKAKASAN ELEKTRIK


Sebanyak 10 penghawa dingin, 10 kipas serta kerusi baring disumbangkan kepada Hospital Sultanah Nora Ismail, Batu Pahat susulan cuaca panas dan ketidakselesaan pelawat dan warga kerja hospital itu. | Sumber foto: Facebook Ah Soon.

 

ISKANDAR PUTERI — Ketidakselesaan pelawat dan warga kerja Hospital Sultanah Nora Ismail, dekat Batu Pahat susulan cuaca panas pada ketika ini, mendapat perhatian sewajarnya daripada kerajaan negeri.

 

Antara kekurangan dikenalpasti adalah ketiadaan penghawa dingin bagi wad lama dan tempat berehat untuk pelawat.

 

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Negeri Johor, Ling Tian Soon berkata, kesemua isu itu antara yang dikenalpasti dan dilihat perlu untuk diselesaikan ketika kunjungannya ke hospital berkenaan pada 31 April lalu.

 

Susulan perbincangan bersama Persatuan Dewan Perniagaan Cina Batu Pahat dan Persatuan Perabot Daerah Batu Pahat, menurutnya, sebanyak 10 penghawa dingin, 10 kipas serta kerusi baring disumbangkan kepada hospital itu.

 

“Kami berharap melalui pemberian barangan ini dapat membantu pihak hospital meningkatkan keselesaan di wad kanak-kanak dan juga memudahkan ibu bapa yang menjaga anak mereka dapat berehat di atas kerusi baring tersebut,” katanya di Facebook rasminya, semalam.

 

Tian Soon berkata, selain itu, tiga pengusaha sekitar Batu Pahat bermurah hati menderma 20 set katil hospital kanak-kanak dan juga ‘bedside table’ berjumlah RM60,000.

 

“Sebaik sahaja barangan dihantar ianya akan terus diserahkan kepada pihak hospital dan harap ia dapat meningkatkan keselesaan wad kanak-kanak.

 

“Saya mewakili pihak hospital dan juga warga daerah Batu Pahat berterima kasih kepada persatuan dan para peniaga yang bermurah hati atas sumbangan tersebut,” katanya.

 

Beliau berkata, keadaan fasiliti yang tidak selesa akan menjejaskan kualiti perkhidmatan kesihatan memandangkan hospital merupakan tempat rakyat mendapatkan rawatan perubatan.

 

“Formula yang terbaik bagi isu ini adalah dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyalurkan peruntukan dan fokus kepada fasiliti perubatan.

 

“Komuniti, NGO serta orang ramai boleh membantu dari sudut membangunkan fasiliti bukan perubatan di hospital. Sama-sama kita berusaha menjadikan Institusi kesihatan di Negeri Johor sentiasa dalam kondisi yang terbaik,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor