HUBUNGAN ISTIMEWA JOHOR-SINGAPURA SALING MELENGKAPI

YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor bersama TYT Lawrence Wong, Perdana Menteri Singapura. | Foto FB Onn Hafiz Ghazi
Oleh: Imran Razib
Pegawai Penerangan Media Digital Johor
1. Lawatan rasmi YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor ke Singapura baru-baru ini, bukan sekadar kunjungan diplomatik atau memenuhi undangan antarabangsa semata-mata, sebaliknya membawa makna yang jauh lebih besar dan istimewa.
2. Ia manifestasi jelas bahawa Johor sedang melangkah sebagai negeri berdaya saing, bersedia menzahirkan potensi penuh dimiliki, dan terus menjalin hubungan strategik berasaskan kekuatan sebenar, bukan sekadar bergantung kepada pusat.
3. Kunjungan Menteri Besar sebagai pemimpin Johor pertama dan penerima ke-82 Felo Pertukaran Lee Kuan Yew (LKYEF) merupakan satu penghormatan yang tinggi – mencerminkan pengiktirafan Singapura terhadap peranan Johor dalam membentuk masa depan ekonomi dan sosial rantau ini.
4. Sebagai rakyat Malaysia kesembilan yang menerima pengiktirafan berprestij ini, secara jelas membuktikan dasar, pendekatan dan suara Johor kini didengari serta dihormati dalam kerangka pemikiran serantau dan global.
5. Sepanjang lawatan, Johor tampil penuh keyakinan dan kredibiliti yakni dengan pencapaian pelaburan RM30.1 bilion pada suku pertama 2025 serta pertumbuhan KDNK tertinggi di Malaysia – sebanyak 6.4 peratus.
6. Ini bukanlah naratif bersifat retorik, tetapi fakta ekonomi membuktikan Johor sedang berdiri dengan kekuatan dalam usaha menarik kemasukan pelaburan berimpak tinggi, merangsang pembangunan dan membina identiti ekonomi tersendiri.
7. Johor turut membuktikan kesediaan untuk memimpin perubahan menerusi cadangan konkrit seperti RTS Link kedua, e-hailing rentas sempadan, inisiatif perkhidmatan feri Tuas dan Zon Perdagangan Bebas (FTZ) dalam Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ).
8. Semua ini mencerminkan komitmen Johor dalam membentuk sistem infrastruktur masa depan yang lebih cekap, mesra rakyat dan mampu merangsang ekonomi rentas sempadan secara mampan.
9. Dalam sektor sosial pula, Johor turut meneliti secara serius model pengurusan pasar awam Singapura seperti Geylang Serai Market yang tersusun, bersih dan berpaksikan prinsip sosial.
10. Pendekatan berasaskan model ‘social enterprise’, penggunaan teknologi pintar seperti sensor, sistem e-denda dan penguatkuasaan automatik memberi inspirasi kepada Johor untuk memperkasa pengurusan pasar komuniti.
11. Kerjasama dalam bidang kesihatan juga diberi perhatian di mana Johor membuka ruang kerjasama yang lebih luas bersama Singapura dalam pelaburan teknologi perubatan, pelancongan kesihatan dan pembangunan bakat menerusi program latihan profesional.
12. Secara kesimpulannya, lawatan rasmi tiga hari menterjemahkan Johor tidak hanya menunggu, tetapi sentiasa berusaha mencipta peluang sekali gus enggan menjadi pemerhati dan ‘backyard’ kepada Singapura.
13. Johor dan Singapura menjalin hubungan yang unik, bersifat pelengkap antara satu sama lain (complement each other) berteraskan kepercayaan dan kerjasama strategik yang semakin kukuh.
14. Atas sebab itu, Johor bukan lagi sekadar ‘pintu masuk ke Malaysia’, tetapi kini muncul sebagai tunjang utama pembangunan serantau yang diyakini dan disegani. Berdiri megah atas kekuatan sendiri dan berdikari. Inilah Johor hari ini – yakin, mandiri dan terus memimpin.
#JohorHomeOfChampions
#WTN
#FeloLKYEF
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor