i-NICE 2025 ANGKAT AGENDA KESEDARAN NEURODIVERSITI

Persatuan Kanak-kanak Autistik Islam Johor Bahru (PKAIJB) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menganjurkan Program i-NICE 2025 untuk meraikan neurodiversiti dan meningkatkan inklusiviti. | Foto Universiti Teknologi Malaysia (UTM)
Oleh: NUREEN NATASYA NOOR HASHAIRUL
#IskandarPuteri – Persatuan Kanak-kanak Autistik Islam Johor Bahru (PKAIJB) dengan kerjasama Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menganjurkan Program i-NICE 2025: Meraikan Neurodiversiti dan Mempertingkatkan Inklusiviti di Toppen Shopping Centre, Johor Bahru.
Program yang turut melibatkan rakan kolaborasi dan pihak berkepentingan itu menampilkan pelbagai pengisian seperti forum, sesi perkongsian ilmu, aktiviti interaktif dan bengkel kesedaran sekali gus berjaya menghimpunkan seramai 415 peserta terdiri daripada ibu bapa, penjaga, remaja serta kanak-kanak autistik.
YBrs. Puan Siti Noraisikin Mohd Jazuli, Pengerusi PKAIJB merangkap Pengarah Program memberitahu i-NICE 2025 bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepelbagaian neurologi (neurodiversiti) di samping mempromosikan penerimaan dan penyertaan inklusif bagi kanak-kanak serta remaja autistik.
Program yang dianjurkan turut berperanan sebagai platform untuk memberikan pendedahan awal mengenai kesedaran seksual kepada remaja, memperkasa sokongan ibu bapa, menyediakan aktiviti mesra neurodivergen untuk kanak-kanak serta memperkukuhkan kerjasama antara badan bukan kerajaan (NGO), institusi akademik dan komuniti.
Antara aktiviti yang disediakan bagi menterjemahkan komitmen bersama membina masyarakat Johor yang lebih memahami keperluan komuniti neurodiversiti termasuk sesi ceramah untuk ibu bapa dan orang awam, Stesen Kesedaran Seksual, Stesen Sensori serta pertandingan mewarna untuk kanak-kanak neurotipikal dan neurodivergen.
Turut hadir, YBrs. Prof. Madya Dr. Aede Hatim Musta’amal, Timbalan Dekan (Penyelidikan, Inovasi dan Pembangunan), Fakulti Sains Pendidikan dan Teknologi UTM serta YBrs. Tuan Haji Mohd Bahrin Bakri, Ketua Pegawai Operasi Waqaf An-Nur Corporation Berhad merangkap Penasihat PKAIJB.
#JohorSafeZone
#i-NICE2025
#Neurodiversiti
#Inklusiviti
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


