IDEA BAHARU DYAM PEMANGKU SULTAN JOHOR UNTUK HARIMAU MALAYA


DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor.

 

Dayung sudah ditangan dan perahu sudah di air. Itu keadaan terkini pasukan bola sepak negara yang menerima suntikan semangat dengan pengumuman YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri yang mengumumkan peruntukan RM15 juta bagi memenuhi impian rakyat Malaysia untuk melihat skuad Harimau Malaya kembali mengaum garang di pentas Asia.

 

Peruntukan menerusi perkongsian antara Kementerian Kewangan Malaysia (MoF) berjumlah RM10 juta dan RM5 juta menerusi penajaan syarikat swasta dilihat mampu untuk menampung usaha membina sebuah skuad yang lebih mantap dan digeruni pada masa akan datang.

 

Perkembangan semasa itu ternyata disambut baik oleh peminat nombor satu bola sepak negara iaitu DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor yang sememangnya amat cakna dengan situasi terkini skuad Harimau Malaya. Walaupun sering disalah anggap oleh ‘haters’ tertentu, Baginda Tunku dengan semangat patriotik yang tidak sesekali luput dalam dirinya pernah menyuarakan kesudian untuk membantu pasukan kebangsaan melalui hantaran ‘IG story’ pada Jun 2021.

 

Sebagai pemain catur yang handal, Baginda Tunku Mahkota Ismail turut berkongsi idea ‘Strategi Skuad Kebangsaan’ melalui laman sosial peribadi Baginda untuk membantu memulihkan kembali reputasi Skuad Harimau Malaya.

 

Idea diluar kebiasaan iaitu pasukan kebangsaan perlu diuruskan oleh badan bebas yang dipimpin oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) atau Pengarah Teknikal, turut dibantu oleh beberapa pegawai utama yang melibatkan posisi Pengarah Kejurulatihan, Ketua Pegawai Operasi, Ketua Jurulatih, Pengarah Strategi dan Penilaian serta Ketua Sumber Manusia dilihat mampu merencanakan satu rekayasa hebat untuk skuad negara.

 

Sebagai seorang yang strategis dan optimis, Baginda Tunku Mahkota Ismail tidak pernah beromongan kosong kerana setiap eksperimen yang dilakukan Baginda dilakukan dengan perancangan yang teliti dan sanggup turun ‘berguru’ dengan nama besar dalam sukan bola sepak seperti meluangkan masa bersama Tim Cahill, lagenda bola sepak Australia yang kini memegang jawatan Pengarah Teknikal Persatuan Bola Sepak Qatar (QFA).

 

Ilmu yang diperolehi ini tidak sesekali dipersiakan kerana sejak mengambil alih Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) pada tahun 2013, perkara pertama yang dititik berat oleh Tunku Mahkota Ismail merangkap pemilik JDT adalah berkenaan urus tadbir kewangan dan hal pengurusan. Ia perlu dilakukan supaya semua pihak mencapai satu titik temu demi mengangkat JDT yang kini menjadi kelab kelapan terbaik Asia dan kelab pertama terbaik di Asia Tenggara.

 

Berbicara tentang kemudahan dan fasiliti latihan bola sepak yang ada di Negeri Johor, keseluruhan pemain JDT daripada pasukan elit hingga ke peringkat akar umbi diberikan akses kepada kemudahan latihan yang moden, profesional dan berkelas dunia, selain dibimbing oleh individu yang faham tentang kepentingan sains sukan dalam bola sepak.

 

Kecintaan Baginda Tunku dalam sukan bola sepak tidak perlu diragukan kerana sudah pasti Baginda Tunku akan pastikan skuad kebangsaan mengikut segala apa yang telah dibuktikan dan Baginda juga telah memberi izin kepada skuad kebangsaan untuk hadir berlatih di Pusat Latihan Seri Gelam, Johor Bahru.

 

Kita semua juga telah lihat sebahagian kejayaan pemain import yang berkhidmat dengan JDT dan situasi ini merupakan hasil titik peluh pasukan ‘scout’ yang dipimpin secara langsung oleh Baginda Tunku. Ia secara tidak langsung idea ini boleh diketengahkan untuk mencari bakat warisan negara untuk mempelawa mereka mewakili Malaysia dan menambah baik kualiti skuad kebangsaan.

 

Pembangunan akar umbi dalam bola sepak sentiasa menjadi keutamaan di JDT dan setiap peringkat mengikut falsafah bola sepak yang sama membuktikan bahawa Baginda Tunku sangat ambil berat tentang masa hadapan bakat-bakat muda. Pengalaman ini secara tidak langsung dapat membantu badan bebas pengurusan skuad kebangsaan dalam pembangunan akar umbi supaya ia selari dengan kemajuan yang dicapai oleh skuad senior.

 

Segala pelan biru di JDT telah membuahkan hasil dan kejayaan yang cemerlang dan ia turut dibuktikan dengan jumlah 28 trofi dalam masa sedekad di bawah kepimpinan Tunku Mahkota Ismail. Baginda juga adalah individu yang mengubah lanskap bola sepak negara walaupun ramai pihak yang skeptikal dengan kredibiliti Baginda walaupun ia terbukti sama ada secara teori mahu pun praktikal.

 

Sudah tiba masanya untuk pasukan Harimau Malaya menerima nafas baru dan mengejar cita-cita untuk menjadi pasukan gergasi bola sepak di rantau Asia.

 

#theTMJEffect
#SudutPandangPenyokong
#SukanMDJ
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor