IMPAK STADIUM PENUH BANTU KAMI – JORDI AMAT
Terapung sama hanyut, terendam sama basah. Itu ikrar janji taat setia yang dizahirkan oleh penyokong setia Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) yang akan terus memberi sokongan padu kepada pasukan kesayangan mereka yang bakal melayan kunjungan juara Liga 1 Korea Selatan, Ulsan HD dalam kancah Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) di Stadium Sultan Ibrahim, malam esok.
Pada perlawanan keempat peringkat kumpulan Zon Timur itu, JDT dijangka akan menerima sokongan luar biasa pemain ke-12 mereka apabila lebih 30,000 tiket telah terjual setakat tengah hari tadi.
Teruja dengan perkembangan itu, pemain pertahanan JDT, Jordi Amat nyata berbangga dengan kehadiran penuh penyokong ke Stadium Sultan Ibrahim dan menyifatkan bahawa situasi tersebut mampu mengubat keletihan pemain setelah berhempas pulas beraksi di atas padang dalam beberapa siri perlawanan kompetitif liga sebelum ini.
“Kehadiran penyokong sangat penting kerana kami dapat merasakan sokongan mereka di belakang kami. Keletihan kami seolah-olah terubat apabila mengetahui bahawa kami akan sentiasa mendapat sokongan padu daripada penyokong dan kami berharap akan dapat memberikan senyuman yang lebar pada wajah mereka dalam perlawanan ini nanti,” katanya dalam sidang media pra perlawanan.
Jordi bagaimanapun mengakui baharu sahaja pulih daripada kecederaan tetapi sekiranya khidmatnya diperlukan jurulatih pada perlawanan ini, beliau akan sentiasa bersedia digandingkan dengan sesiapa pun di benteng pertahanan dan berazam untuk memberikan segalanya yang terbaik untuk pasukan.
Meskipun, beliau turut berwaspada dengan cabaran dan ancaman yang bakal dipersembahkan oleh Ulsan HD pada perlawanan itu, namun semua pemain JDT juga sentiasa bersedia untuk memberikan reaksi balas serta keputusan positif terhadap lawan dari Republik Korea itu sebagaimana yang pernah dilakukan pada tahun 2022 dan 2023 yang lalu.
Luaskan Kuasamu Johor!
#ACLElite
#SukanMDJ
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor