IMPORT TERMAHAL BANTU KEMENANGAN EPIK JDT
![](https://mediadigitaljohor.gov.my/v1/wp-content/uploads/2025/02/WhatsApp-Image-2025-02-12-at-3.59.39-PM.jpeg)
Alvaro Gonzalez, pemain import baharu Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan pada aksi ketujuh bagi kumpulan Zon Timur, Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) 2024/25 di Gosford, Australia.
#IskandarPuteri – Alvaro Gonzalez, pemain import termahal Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) menjaringkan dua gol bagi membantu Harimau Selatan menewaskan Central Coast Mariners 2-1 pada aksi ketujuh bagi kumpulan Zon Timur, Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) 2024/25 di Gosford, Australia.
Pemain pertahanan berusia 33 tahun itu berada dalam kelas tersendiri apabila berjaya menyumbat gol pertama pada minit ke-64 sebelum menjaringkan gol kemenangan skuad Harimau Selatan pada minit ke-79, sekali gus menepis tohmahan pemain ‘kuda tua’ selepas dipilih sebagai pemain terbaik pada perlawanan tersebut.
Menurut Alvaro, beliau terpaksa menjalani latihan sendiri di rumah sepanjang tujuh bulan kerana tidak beraksi dalam perlawanan kompetitif malah latihan insentif selama seminggu bersama JDT juga banyak membantu.
“Ia jaringan yang penting buat pasukan ini, kelab ini dan diri saya sendiri kerana saya hanya berusaha di rumah sepanjang tujuh bulan ini kerana saya keseorangan.”
“Saya amat gembira kerana kelab memberi keyakinan yang tinggi buat saya dan kemenangan ini sudah tentu saya tujukan untuk keluarga dan kelab terbaik ini. Sememangnya bukan mudah untuk menyesuaikan diri dengan pantas bagi mengenali corak permainan JDT,” ujar Alvaro ketika ditemui selepas perlawanan.
JDT kini menduduki tangga kelima liga bagi kumpulan Zon Timur ACLE 2024/25 dengan 11 mata daripada tujuh perlawanan. Hasil daripada kemenangan ini juga telah membenarkan kedudukan AFC MA Ranking Malaysia berada di kedudukan kelima memintas Australia berdasarkan kemas kini oleh laman Footy Rankings.
Perlawanan terakhir peringkat liga ACLE 2024/25 bakal menyaksikan skuad Harimau Selatan menerima kunjungan kelab Korea Selatan, Pohang Steelers yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim pada 18 Februari nanti.
Luaskan Kuasamu Johor!
#CCMvJDT
#ACLElite
#SukanMDJ
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor