INGATAN BERHIKMAH PEMANGKU SULTAN JOHOR


DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor menjadi suri teladan kepada Bangsa Johor khususnya kepada golongan belia. | Foto MDJ Nurina Aisyah

 

Di sebalik keperibadian tegas dan kelantangan menzahirkan pandangan serta nasihat penuh hikmah, Duli Yang Amat Mulia (DYAM) Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor memiliki budi pekerti mulia yang amat disenangi dan menjadi suri teladan Bangsa Johor terutama golongan belia.

 

Berkongsi pengalaman mengadap DYAM Tunku Mahkota Ismail bagi mempersembah cadangan aktiviti belia, Mohammad Aliff A. Rahim memberitahu Pemangku Sultan Johor memegang kukuh pesanan nendanya, Almarhum Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail agar sentiasa bersama dan menjaga seluruh rakyat.

 

Pemangku Sultan Johor turut menekankan empat aspek yang perlu diberikan tumpuan dan dikuasai oleh rakyat iaitu pendidikan, ekonomi, kesihatan selain mempunyai kekuatan jati diri yang menyerlahkan identiti Bangsa Johor, jelas Pemangku Presiden Majlis Belia Negeri Johor (MBNJ).

 

Kesemua aspek berkenaan bukan sahaja menjadi keutamaan malah telah menyerlahkan aspirasi penuh berwawasan DYAM Tunku Mahkota Ismail untuk melihat Negeri Johor tidak ketandusan pemimpin pelapis yang akan mewarisi kepimpinan dan pentadbiran seterusnya membangunkan serta memacu ekonomi ke arah negeri maju.

 

Selain itu, ketegasan Pemangku Sultan Johor setiap kali memperjuangkan isu kemudahan penjagaan kesihatan yang memerlukan perhatian untuk dinaik taraf dan dibaik pulih juga membuktikan keprihatinan Baginda terhadap aspek kebajikan serta kesejahteraan sekali gus mahu rakyat berada pada tahap kesihatan terbaik.

 

Kepimpinan bertauladan DYAM Tunku Mahkota Ismail terutama dalam mengetuai dan menerajui semua aktiviti belia secara tidak langsung menjadi contoh dan ikutan kepada MBNJ dalam menggerakkan golongan berkenaan di lapangan sekali gus mencipta masa hadapan yang mampan kepada belia di Negeri Johor.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor