INISIATIF 3KM RADIUS PASTIKAN PUSAT BANDAR JOHOR BAHRU LEBIH SEMPURNA DAN SELESA

YB Dato’ Mohd Haffiz Ahmad, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Johor Bahru menyerahkan Draf Rancangan Tempatan Johor Bahru 2035 kepada YB Dato’ Mohd Jafni Md Shukor, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor. | Foto FB Mohd Jafni Md Shukor

 

#JohorBahru — Kerajaan Negeri terus memperhebat usaha memperindah dan memperkukuh imej pusat bandar raya Johor Bahru menerusi pelaksanaan inisiatif ‘3 kilometer radius’ (3KM Radius) yang dilaksanakan secara berperingkat bagi memastikan kawasan strategik di ibu negeri Johor ini terus berada dalam keadaan yang sempurna, tersusun dan selesa.

 

Inisiatif kawasan 3KM Radius ini akan merangkumi zon yang bermula dari sempadan Johor-Singapura hingga ke pusat bandar raya Johor Bahru, dengan tumpuan utama akan diberikan terhadap aspek membaik pulih jalan raya, landskap, papan tanda, sistem pencahayaan dan penyelenggaraan infrastruktur awam bagi memastikan Johor Bahru bersedia menjadi antara ‘host utama’ dalam menjayakan Tahun Melawat Johor 2026.

 

Melalui pendekatan ini, Kerajaan Negeri bersama Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) komited untuk memastikan persekitaran bandar raya ini sentiasa terpelihara tanpa isu jalan berlubang, bangunan kotor atau jejambat tidak diselenggara dengan pelaksanaannya bakal diperluaskan ke kawasan lain di bawah pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT) ‘The Greater JB’ dalam tempoh terdekat.

 

Seiring pelaksanaan tersebut, pelbagai kerja pembaikan dan penyegaran semula infrastruktur kini sedang giat dijalankan seperti kerja mengecat semula jejambat dan dinding penghadang di sekitar bandar raya ini yang dijangka siap sepenuhnya menjelang hujung tahun ini. Ia secara tidak langsung menandakan komitmen berterusan yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri dalam memastikan wajah Johor Bahru sentiasa tampil segar dan moden.

 

Bagi maksud itu juga, Kerajaan Negeri turut memperuntukkan dana khas bagi mengecat semula lebih 400 bangunan di sekitar bandar raya berkenaan secara percuma, sekali gus menjadi sebahagian daripada inisiatif memperindah imej bandar raya berkenaan.

 

Selain aspek fizikal, Kerajaan Negeri turut memberi penekanan terhadap soal keselamatan dan kesejahteraan sosial, dengan pelbagai langkah sedang dilaksanakan bagi memastikan bandar raya Johor Bahru terus berupaya menawarkan suasana hidup yang selamat dan harmoni kepada penduduk serta pelawat, sekali gus memperkukuh imej Johor Bahru sebagai bandar raya bertaraf antarabangsa dan mesra pelancong.

 

#JohorSafeZone
#TheGreaterJB
#VisitJohor2026
#MajesticJohor
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor