INISIATIF HOSPITAL KLUSTER ATASI KESESAKAN HOSPITAL KOTA TINGGI

YB Tuan Ling Tian Soon, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor pada Mesyuarat Ketiga (Belanjawan 2026) bagi Penggal Persidangan Keempat Dewan Negeri Johor Ke-15. | Foto MDJ Aisyah Mazalan
#IskandarPuteri – Usaha untuk menangani kepadatan pesakit serta infrastruktur kesihatan yang uzur tidak hanya tertumpu di kawasan Johor Bahru sahaja, sebaliknya Kerajaan Negeri juga turut sentiasa menggerakkan inisiatif bagi memastikan rakyat terus mendapat perkhidmatan kesihatan berkualiti dan selamat termasuk di Hospital Kota Tinggi.
Bagi maksud itu, Kerajaan Negeri telah melaksanakan inisiatif pelaksanaan hospital kluster bersama Hospital Sultan Ismail (HSI) dan Hospital Mersing bagi membolehkan perkongsian tenaga pakar serta perkhidmatan rawatan pesakit dapat dijalankan dengan lebih berkesan, selain membantu mengurangkan beban pesakit di Hospital Kota Tinggi dan pada masa sama memastikan kualiti rawatan juga tidak akan terjejas.
Untuk itu, sejumlah RM842,910 turut diperuntukkan oleh Kerajaan Johor bagi melaksanakan projek naik taraf dan pembaikan infrastruktur secara berperingkat melalui peruntukan pembangunan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang memberi fokus kepada penambahbaikan fasiliti hospital, memastikan persekitaran rawatan kekal selamat, moden dan bersih.
Projek menaik taraf ini akan melibatkan kerja-kerja pendawaian semula bangunan lama di Zon C dan Zon D dengan kos RM493,410 serta penggantian Sistem Vakum No.1 bernilai RM349,500. Ia akan dilaksanakan secara berfasa bagi mengurangkan kesan gangguan pengoperasian hospital dan akan sentiasa dipantau rapi untuk memastikan projek berkenaan dapat disiapkan mengikut jadual.
Meskipun sektor kesihatan berada di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri tetap kekal komited dan turut mengambil tanggungjawab dalam memastikan keselesaan pesakit terus terbela selaras dengan pendekatan ‘Whole-of-Nation’ menerusi peruntukan berjumlah RM70,000 bagi pembelian aset perubatan untuk kegunaan Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Kota Tinggi.
Selain itu, pembinaan Klinik Kesihatan Bandar Kota Tinggi yang kini sedang berjalan dan dijangka siap pada tahun hadapan juga diyakini dapat menampung sebahagian daripada pesakit luar di Jabatan Pesakit Luar Hospital Kota Tinggi serta pada masa sama dapat meningkatkan kualiti perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat kelak.
Terdahulu, YB Tuan Ling Tian Soon, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor menjawab pertanyaan mengenai usaha Kerajaan Negeri menyelesaikan masalah kepadatan pesakit di Hospital Kota Tinggi pada Mesyuarat Ketiga (Belanjawan 2026) bagi Penggal Persidangan Keempat Dewan Negeri Johor Ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, hari ini.
#JohorSafeZone
#BelanjawanJohor2026
#BangsaJohorSejahtera
#SistemKesihatanJohor
#HospitalKotaTinggi
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


