INISIATIF MyUBAT KURANGKAN KESESAKAN DI HOSPITAL


160,000 bungkusan akan dibekalkan bagi memudahkan pesakit mendapatkan ubat-ubatan tanpa perlu hadir ke hospital. Gambar Hiasan.

 

Kerajaan Johor memperuntukkan RM900,000 untuk menggerakkan inisiatif penghantaran ubat melalui pos, MyUBAT PosLaju bagi mengurangkan kesesakan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru bermula 1 Ogos lalu.
Inisiatif dibentangkan dalam Belanjawan Johor 2024 itu menyasarkan 160,000 bungkusan dibekalkan bagi memudahkan pesakit mendapatkan ubat-ubatan tanpa perlu hadir ke hospital, sekali gus menjimatkan masa menunggu dan mengurangkan bilangan pesakit yang perlu datang ke hospital.
Menurut YB Ling Tian Soon, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, inisiatif berkenaan akan melibatkan Poliklinik HSA dan Klinik Kesihatan HSI, menerusi pengoperasian kaunter khas untuk membantu pesakit mendaftar bagi program tersebut.
Usaha tersebut secara tidak langsung membantu pihak hospital menguruskan pesakit secara efisien dengan kos penghantaran di dalam negeri akan ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan Johor manakala penghantaran ke luar negeri akan dikenakan bayaran.
Program ini merupakan salah satu usaha berterusan Kerajaan Negeri dalam meningkatkan kualiti perkhidmatan dan penyampaian kesihatan demi kesejahteraan rakyat sejajar dengan agenda Maju Johor 2030.