INISIATIF TAMBAHAN: BUKAN SEKADAR ‘OMONG’ KOSONG

YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor ketika mengumumkan 42 inisiatif tambahan dengan nilai peruntukan lebih RM209 juta melibatkan 1.9 juta penerima manfaat pada Mesyuarat Kedua Bagi Penggal Persidangan Keempat Dewan Negeri Johor Yang Ke-15 di Dewan Persidangan Bangunan Temenggong Ibrahim, Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), hari ini.

#IskandarPuteri – “Saya rasa ini adalah antara pengumuman inisiatif yang paling menyeluruh dalam sejarah Negeri Johor, sampaikan perkara yang jarang kita dengar hari ini seperti bantuan untuk pekerja am pembersihan awam dan sisa pepejal SWM turut diumumkan, sekali gus membolehkan mereka juga merasai manfaatnya kali ini,” kata YB Syed Hussein Syed Abdullah, Ahli Dewan Negeri (ADUN) Mahkota.

Beliau memberitahu, lebih membanggakan mengenai Kerajaan Negeri Johor ialah tidak hanya bercerita tentang ekonomi semata-mata tetapi juga bercakap berkaitan soal kebajikan Bangsa Johor serta apakah yang boleh memberi manfaat kepada rakyat dan hari ini, ia akhirnya direalisasikan.

“Sebelum ini ramai juga bertanyakan kepada saya, apakah impak dan manfaat daripada rancangan ekonomi yang dibuat oleh Kerajaan Negeri ini kepada mereka. Hari ini kita tidak perlu menjawab panjang lebar kerana ia telah pun diterjemah menerusi pengumuman 42 inisiatif tambahan yang telah diumumkan oleh YAB Menteri Besar Johor sebentar tadi yang diyakini mampu memberi manfaat kepada seluruh Bangsa Johor tanpa ada yang terkecuali.

“Kecemerlangan prestasi Kerajaan Johor ini hasil daripada pelbagai strategi ekonomi yang telah berjaya melonjakkan pertumbuhan ekonomi negeri menerusi kerancakkan kemasukan pelabur ke negeri ini,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Mesyuarat Kedua Bagi Penggal Persidangan Keempat Dewan Negeri Johor Yang Ke-15 di Dewan Persidangan Bangunan Temenggong Ibrahim, Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), hari ini.

 

Terdahulu, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi pada sidang mesyuarat sama telah mengumumkan 42 inisiatif tambahan bagi menangani kos sara hidup dan kesejahteraan rakyat, selain turut menyediakan beberapa peruntukkan khas berkaitan insiden gempa bumi lemah yang berlaku di daerah Segamat, baru-baru ini.

Sementara itu, YB Selamat Takim, ADUN Sungai Balang berpendapat inisiatif tambahan yang telah diumumkan oleh YAB Menteri Besar, hari ini bukan sahaja memberi manfaat kepada rakyat di negeri ini tetapi juga telah ‘memenuhi’ kehendak dan keperluan masyarakat di kawasan yang diwakilinya.

“Alhamdulillah, peruntukkan tambahan yang diumumkan oleh Kerajaan Negeri ini pastinya memberi kelegaan bagi masyarakat di Sungai Balang kerana kawasan ini sememangnya bertumpu kepada sektor pertanian dan perikanan. Ia sudah pasti memberi kelegaan kepada golongan petani, pesawah, nelayan dan juga penggiat penternakan akuakultur di sini yang turut berdepan dengan kos sara hidup yang semakin meningkat.

“Pengumuman peruntukkan tambahan hari ini disifatkan sebagai penghargaan Kerajaan Negeri kepada golongan berkenaan dan ini sudah pasti memberi perangsang kepada mereka untuk terus menggiatkan lagi usaha mereka dalam memperhebat sektor pertanian dan perikanan di sebelah Johor Utara pada masa akan datang. Ini kerana kami sangat-sangat teruja dan berterima kasih dengan apa yang telah diumumkan oleh YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, hari ini,” katanya.

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor