INSENTIF GITA & GITE PERKUKUH AGENDA ‘JOHOR GREEN DEAL’

YB Datuk Seri Utama Ir. Hasni Mohammad, Pengerusi Pusat Kelestarian Johor (JSC) hadir ke Seminar Pengenalan Insentif GITA dan GITE – ‘Powering Low Carbon Cities’ di Dewan Kenanga, Menara MBJB. | Foto MDJ Aisyah Mazalan
#JohorBahru – Kerajaan Johor terus memperkukuh komitmen terhadap pembangunan mampan melalui pelaksanaan inisiatif hijau yang menyokong pertumbuhan ekonomi secara lestari antaranya menerusi insentif Green Investment Tax Allowance (GITA) dan Green Income Tax Exemption (GITE) yang diperkenalkan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan CIMB Islamic Bank Berhad.
Inisiatif ini menjadi antara langkah strategik dalam membuka ruang pelaburan yang lebih berdaya saing dalam sektor teknologi hijau, selain mampu mendorong penglibatan lebih banyak pemain industri dalam menyumbang kepada inisiatif pengurangan pelepasan karbon selaras dengan agenda ‘Johor Green Deal’.
Inisiatif GITA diperkenalkan bagi memberikan potongan cukai sehingga 100 peratus daripada perbelanjaan modal layak dengan potongan berkenaan boleh ditolak sehingga 70 peratus daripada pendapatan bercukai yang melibatkan beberapa bidang berkaitan teknologi tenaga boleh diperbaharui, kecekapan tenaga, pengurusan sisa dan penyelesaian agenda pembangunan yang lestari.
Sementara itu, inisiatif GITE pula menawarkan pengecualian cukai pendapatan kepada syarikat yang menyediakan perkhidmatan hijau, sekali gus memberi galakan luar biasa kepada pemain industri dalam sektor ini.
Selain itu, peranan signifikan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang terlibat aktif seperti Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) dan Majlis Perbandaran Kulai (MPKu) menjadi pemangkin utama kepada pembangunan bandar yang berorientasikan kelestarian.
Pihak PBT juga akan turut memperkukuh usaha melalui rangka kerja pembangunan hijau yang lebih progresif meliputi pembangunan infrastruktur bandar pintar, inisiatif tenaga daripada sisa buangan, pertanian bandar dan zon biodiversiti serta sistem pengangkutan mampan yang menyumbang kepada pengurangan pelepasan karbon dan kesesakan bandar.
Terdahulu, YB Datuk Seri Utama Ir. Hasni Mohammad, Pengerusi Pusat Kelestarian Johor (JSC) hadir ke Seminar Pengenalan Insentif GITA dan GITE – ‘Powering Low Carbon Cities’ di Dewan Kenanga, Menara MBJB, hari ini.
#JohorGreenDeal
#AgendaKelestarian
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor