INTERAKSI ‘HATI-HATI TUNKU, TERIMA KASIH’ JADI KENANGAN MOHD HAMDAN


Mohd Hamdan, 54, ketika ditemui Media Digital Johor di Felda Bukit Aping Timur, Kota Tinggi, tadi. | Foto MDJ Nurina Aisyah

 

KOTA TINGGI — Bagi sesetengah orang mungkin menganggap ia hanya sekadar sapaan remeh, namun bagi rakyat yang kasihkan rajanya sudah pasti dapat merasakan ‘nilai sentimentalnya’ walaupun hanya dapat berinteraksi untuk seketika sahaja.

 

Itulah perasaan yang digambarkan oleh Penduduk Generasi Kedua Felda Bukit Aping Timur, Mohd Hamdan, 54, apabila sekali lagi dapat berpeluang melihat batang tubuh DYAM Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim dan Kerabat Diraja Johor yang lain pada program Kembara Mahkota Johor (KMJ) 2023 di tanah rancangan berkenaan.

 

Mengimbau kembali nostalgia berkenaan, Mohd Hamdan berkata, perkara itu tidak pernah sama sekali dilupakan sepanjang hidupnya, apatah lagi ia mendapat reaksi balas daripada sosok insan yang paling dihormatinya.

 

“Ketika itu, Baginda Tunku Ismail turut menyertai program KMJ di kawasan Tanjung Sedili namun saya lupa pada tahun bila. Saya memberanikan diri untuk membuat sapaan ‘hati-hati’ kepada Baginda Tunku kerana ketika itu rombongan KMJ sedang berangkat meninggalkan kawasan berkenaan untuk ke destinasi seterusnya.

 

“Namun saya tidak menyangka Baginda Tunku mendengarnya dan membalas dengan titah ‘terima kasih’ sambil tersenyum. Walaupun balasan titah itu ringkas, tetapi ia amat bermakna bagi insan kerdil seperti diri saya ini,” katanya ketika ditemui Media Digital Johor di sini, hari ini.

 

Mohd Hamdan turut merakamkan penghargaan kepada Keluarga DiRaja Johor di atas keberangkatan ke kampung halamannya sempena program Jelajah KMJ 2023 yang sememangnya amat dinantikan oleh dirinya serta penduduk yang lain.

 

“Semoga saya dapat lagi menyaksikan acara ini pada masa akan datang kerana usia saya pun dah kian meningkat,” tambahnya.

 

Terdahulu, rombongan KMJ 2023 berlepas dari Kulim Eco Trail Retreat iaitu destinasi pertama acara tahunan Keluarga DiRaja Johor yang kembali dilangsungkan sejak tahun 2019 berikutan kekangan akibat pandemik Covid-19 yang melanda negara sebelum ini.

 

Felda Bukit Aping Timur merupakan destinasi kedua rombongan KMJ 2023 yang diketuai Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim.

 

Berangkat sama YAM Che’ Puan Besar Khaleeda binti Bustamam; YAM Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim serta YAM Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim.

 

Pelbagai aktiviti menarik disajikan antaranya sukan rakyat, permainan e-Sport, pameran robotik serta persembahan kebudayaan.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor