INTERVENSI KERAJAAN NEGERI PERCEPAT PROJEK NAIK TARAF JALAN

YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor merangkap Ahli Dewan Negeri Johor kawasan Machap pada program Jelajah Orang Johor (JOJ) Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap. | Foto MDJ Wira Anggara

 

#Kluang – Projek menaik taraf Jalan Kampung Melayu Bukit Nyamuk, Kluang ke sempadan Pontian bernilai RM51.9 juta bakal memberi manfaat kepada lebih 3,000 penduduk setempat apabila siap sepenuhnya pada November 2027.

 

Jajaran projek sepanjang 5.8 kilometer itu melibatkan kerja naik taraf jalan sedia ada kepada piawaian Jabatan Kerja Raya (JKR) R2 bermula dari Jalan Johor Bahru – Ayer Hitam (FT001) sehingga ke Parit Puteri Menangis Darat.

 

Projek membabitkan kerja naik taraf jalan menjadi dua lorong dengan kelebaran enam meter dan had muatan hingga lima tan itu akan mengurangkan masa perjalanan daripada 40 kepada hanya 10 minit selepas siap kelak.

 

Intervensi daripada Kerajaan Negeri membolehkan projek yang merupakan sebahagian daripada 222 projek bernilai RM10 bilion masih belum dimulakan, berjaya dipercepatkan dan telah bermula pada Jun lalu.

 

Fasa seterusnya pula akan melibatkan pemasangan perabot jalan sekali gus melengkapkan keseluruhan projek bagi memastikan aspek keselamatan dan keselesaan pengguna sentiasa menjadi keutamaan.

 

Sementara itu, Mohd Nazri Ma’arof, Ketua Kampung Melayu Bukit Nyamuk menyifatkan pelaksanaan projek itu akan meningkatkan kesejahteraan rakyat selain menyokong kelancaran aktiviti ekonomi dan jaringan perhubungan antara daerah di negeri ini.

 

Terdahulu, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor merangkap Ahli Dewan Negeri Johor kawasan Machap menyantuni masyarakat Kampung Melayu Bukit Nyamuk pada program Kenduri Sekampung sempena Jelajah Orang Johor (JOJ) Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap, hari ini.

 

Hadir sama, YBhg. Puan Hajah Azurawati Wahid, Pegawai Daerah Kluang dan YBhg. En. Mohd Fa’iz Salehon, Yang Dipertua Majlis Daerah Simpang Renggam.

 

#JohorSafeZone
#JelajahOrangJohor
#KenduriSekampung
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor