ISI BORANG, BUAT SEMAKAN AWAL : SPR


Kenyataan media yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR).

 

ISKANDAR PUTERI — Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyarankan bakal calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram agar mengisi borang serta membuat semakan awal bagi melancarkan proses penamaan calon pada 26 Ogos ini.

 

Setiausaha SPR, Dato’ Indera Ikmalrudin Ishak berkata, semakan awal itu boleh dibuat dengan Pejabat Pegawai Pengurus berkenaan atau Pejabat Pilihan Raya Negeri Johor sebelum Hari Penamaan Calon (HPC).

 

“Selain itu, bakal-bakal calon juga adalah disarankan untuk membuat pembayaran deposit lebih awal dan resit pembayaran tersebut hendaklah dibawa pada HPC sebagai bukti pembayaran,” kata beliau dalam satu kenyataan media, pada Rabu.

 

Ikmalrudin berkata, kertas penamaan calon hendaklah diserahkan dari jam 9 hingga 10 pagi oleh calon, pencadang dan penyokong atau mana-mana dua daripada mereka atau mana-mana seorang daripada mereka ketika HPC.

 

Ujarnya, penyerahan tersebut dibuat kepada Pegawai Pengurus di Pusat Penamaan Calon (PPC) di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Johor Bahru untuk PRK Parlimen Pulai dan di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Muar bagi PRK DUN Simpang Jeram.

 

“Bagi bakal-bakal calon yang mewakili mana-mana parti politik adalah diingatkan untuk mengemukakan surat kebenaran penggunaan simbol parti yang diwakili apabila membuat penyerahan kertas penamaan calon.

 

“Setiap bakal calon hanya dibenarkan diiringi oleh seorang pencadang calon dan seorang penyokong calon untuk memasuki PPC,” katanya.

 

Beliau memberitahu penggunaan semua jenis alat muzik atau pembesar suara bagi tujuan dakyah politik adalah tidak dibenarkan pada HPC dan merupakan satu kesalahan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

 

“Orang awam serta penyokong-penyokong yang mengiringi calon adalah dilarang menunggu atau berada dalam jarak 50 meter dari sempadan PPC yang telah ditetapkan,” katanya.

 

Selain itu, Ikmalrudin berkata, calon yang sudah membayar deposit bahan kempen pilihan raya tertakluk kepada undang-undang kecil mana-mana Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi tujuan mempamer dan mengedarkan bahan kempen.

 

“SPR menyeru kepada bakal calon dan parti politik yang terlibat agar sentiasa mematuhi undang-undang, peraturan, tata etika dan arahan dikeluarkan oleh SPR, PDRM dan PBT bagi memastikan proses penamaan calon dilaksanakan dapat berjalan dengan baik dan lancar,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor