iSPOC: INDUSTRI SAWIT PERTAMA GUNA SUMBER BOLEH DIPERBAHARUI

Majlis Pecah Tanah Kompleks Minyak Sawit Mampan Bersepadu oleh JPG di Ladang Pasir Gogok, Jalan Tanjung Leman, Kota Tinggi. | Foto MDJ Aisyah Mazalan
#KotaTinggi – Rancangan projek pembangunan Kompleks Minyak Sawit Mampan Bersepadu (iSPOC) oleh Johor Plantations Group Berhad (JPG) di Pasir Logok, Kota Tinggi dilihat bakal mencipta kira-kira 250 peluang pekerjaan, sekali gus memberi impak positif kepada komuniti tempatan melalui Program Inklusiviti Pekebun Kecil yang kini sudah memanfaatkan 289 pekebun kecil di Johor.
Projek pembangunan iSPOC ini akan menjadi fasiliti pertama yang akan menggunakan sumber tenaga boleh diperbaharui (RE) melalui kaedah pemprosesan biomas dan biogas, selari dengan hasrat dan sasaran JPG dalam memperkasakan amalan pengurangan karbon serta memperkukuhkan ekosistem perniagaan yang lebih mampan di Johor.
Projek pembangunan ini juga akan dijalankan secara usaha sama dengan Fuji Oil Asia Pte Ltd yang turut membentuk JPG Fuji Sdn Bhd yang ditubuhkan dengan JPG memiliki 51 peratus pegangan, selebihnya iaitu 49 peratus lagi dipegang oleh rakan usaha sama berkenaan.
Ia akan membolehkan JPG menerokai pasaran minyak dan lemak khusus, memperluaskan portfolio produk hiliran serta meningkatkan keuntungan melalui pembuatan bersepadu.
Dijadual beroperasi pada suku ketiga tahun 2026, Kerajaan Johor berkeyakinan bahawa sinergi JPG dan Fuji Oil dalam membangunkan iSPOC berupaya merangsang aktiviti ekonomi setempat dan membangunkan tenaga kerja mahir bagi meningkatkan pertumbuhan serta daya saing industri di negeri ini.
Terdahulu, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor hadir menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Kompleks Minyak Sawit Mampan Bersepadu oleh JPG di Ladang Pasir Gogok, Jalan Tanjung Leman, Kota Tinggi.
Hadir sama ialah YB Tan Sri Dato’ Dr. Haji Azmi Rohani, Setiausaha Kerajaan Johor; YB Dato’ Zahari Sarip, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor serta YB Tuan Lee Ting Han, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Johor.
Turut hadir ialah YBhg. Datuk Syed Mohamed Syed Ibrahim, Presiden dan Ketua Eksekutif JCorp; YBhg. Tan Sri Dato’ Sri Dr. Ismail Bakar, Pengerusi JPG dan YBrs Mohd Faris Adli Shukery, Pengarah Urusan JPG.
#JPGFuji
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor