IWG-JTDC PACU PEMBANGUNAN BAKAT JOHOR

YB Tuan Aznan Tamin, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor mempengerusikan mesyuarat Industry Working Group (IWG) – Majlis Pembangunan Bakat Johor (JTDC) bersama jabatan dan agensi yang terlibat. | Foto Aznan Tamin

 

#IskandarPuteri – Kerajaan Johor terus melangkah ke hadapan dalam usaha memperkasa pembangunan bakat dan modal insan melalui pendekatan yang lebih strategik serta menyeluruh melalui penubuhan Industry Working Group (IWG).

 

Inisiatif yang dirangka melalui Majlis Pembangunan Bakat Johor (JTDC) ini akan menjadi sebuah platform kolaboratif yang menghimpunkan pemain industri, agensi kerajaan dan institusi pendidikan bagi memastikan pembangunan bakat di negeri ini mampu menepati kehendak serta keperluan semasa industri.

 

Bagi tujuan itu, IWG juga berfungsi sebagai jawatankuasa mengikut sektor industri dengan setiap kumpulan kerja akan disokong oleh jabatan, agensi dan wakil industri yang terlibat, sekali gus membolehkan proses libat urus dapat dilaksanakan secara langsung bersama pihak yang paling memahami landskap sebenar sesebuah industri berkenaan.

 

Sektor-sektor utama di bawah IWG juga telah disusun merangkumi bidang seperti pembuatan, ekonomi digital, pendidikan, pelancongan kesihatan, tenaga, logistik, keterjaminan makanan serta beberapa sektor strategik di bawah pelaksanaan inisiatif Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).

 

Selain menjadi medium libat urus, IWG turut menjadi saluran input kepada pelbagai program pembangunan bakat anjuran JTDC seperti latihan upskilling, reskilling dan perancangan tenaga kerja masa hadapan yang lebih relevan dan menepati permintaan daripada pihak industri.

 

Terdahulu, YB Aznan Tamin, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor berkata demikian selepas hadir merasmikan Majlis Penutup Pusingan Akhir HRD Corp AI Challenge @ NTW Peringkat Negeri Johor Tahun 2025 di Universiti Reading Malaysia, Iskandar Puteri, baru-baru ini.

 

#JTDC
#BakatJohor
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor