JADUAL PADAT TIDAK HALANG RAIH ANUGERAH
#BatuPahat – Penglibatan secara aktif sebagai pemimpin mahasiswa tidak menghalang graduan Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Kimia (Bioteknologi) Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) untuk meraih keputusan cemerlang.
Ia dibuktikan Nur Syafiqah Husna Zainul Arshad, 25, yang juga bekas Naib Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar UTHM Pagoh, Sesi 2021/2022 yang terpilih sebagai penerima Anugerah Pelajaran DiRaja (Pingat Jaya Cemerlang) pada Sidang 1, Istiadat Konvokesyen UTHM Ke-24 yang berlangsung hari ini.
Anak bongsu dari empat beradik itu sentiasa berpegang teguh kepada prinsip ‘fly high, the sky is the limit’ yang membolehkannya mencapai keputusan cemerlang sejak di bangku sekolah hinggalah ke peringkat universiti.
Selain Nur Syafiqah Husna, Anugerah Pelajaran DiRaja sama turut diterima oleh Chris Ng, graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam dari Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina, UTHM.
Sementara itu pada Istiadat Konvokesyen sama, bekas Dekan Fakulti Kejuruteraan Awam dan Kejuruteraan Alam Bina UTHM, Prof Dr. Ahmad Tarmizi Abd Karim dianugerahkan Profesor Emeritus, manakala graduan Ijazah Sarjana Muda Teknologi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, Fadlin Afina Suhaimi pula menerima Anugerah Sultan Ibrahim.
Terdahulu, Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor merangkap Canselor UTHM berkenan berangkat ke Istiadat Konvokesyen UTHM Ke-24 yang berlangsung di Dewan Sultan Ibrahim, UTHM, Batu Pahat.
Turut hadir, YB Tan Sri Dato’ Dr. Haji Azmi Rohani, Setiausaha Kerajaan Johor yang juga Pro Canselor UTHM; YBhg Dato’ Sri Ibrahim Ahmad, Pengerusi Lembaga Pengarah UTHM dan YB Prof Dato’ Ir. Ts. Dr. Ruzairi Abdul Rahim, Naib Canselor UTHM.
Pada Istiadat Konvokesyen UTHM ke-24 bermula hari ini hingga 12 Disember, seramai 4,870 graduan layak menerima sijil masing-masing merangkumi Ijazah Doktor Falsafah dengan 123 graduan, Ijazah Sarjana (329 graduan), Ijazah Sarjana Muda (3,492 graduan) dan Diploma (926 graduan).
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor