JAGA IMEJ BAIK NEGERI JOHOR


YB Mohd Hairi Mad Shah, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Johor hadir pada Majlis Amanat Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Johor bersama Kontinjen SUKMA Johor 2024. | Foto MDJ Nurina Aisyah

 

Kontinjen Johor akan memulakan episod baharu temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XXI di Sarawak bulan hadapan selaku juara bertahan dan reputasi ini pasti akan menyebabkan mata peminat sukan tanah air akan memberi tumpuan lebih terhadap semua atlet Johor.

 

YB Mohd Hairi Mad Shah, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Johor bagaimanapun mengingatkan semua atlet Johor supaya tidak menjadikannya sebagai tekanan, sebaliknya menganggapnya sebagai satu kelebihan untuk mencatat kejayaan cemerlang, sekali gus menjaga nama baik Negeri Johor.

 

Berkongsi pengamatannya ketika Kunjungan Hormat dan Lawatan Delegasi Negeri Johor ke Sarawak pada minggu lalu, Mohd Hairi memberitahu semua fasiliti sukan dan stadium yang akan digunakan sempena SUKMA Sarawak 2024 telah siap sepenuhnya dan mereka juga sudah bersedia untuk menerima kunjungan atlet yang bertanding.

 

Justeru, beliau mengharapkan kerjasama daripada semua pihak dalam memberi sokongan dan bersatu hati sepanjang kejohanan dwi tahunan itu berlangsung terutama dalam memberi semangat jitu kepada semua atlet SUKMA Kontinjen Johor kali ini.

 

Selain itu, pihaknya juga turut memberi cadangan supaya syarikat penerbangan dapat menawarkan pakej yang berpatutan agar rakyat di semenanjung boleh ke Sarawak dan ini secara tidak langsung dapat mempromosikan pelancongan sukan di negara ini.

 

Terdahulu, Mohd Hairi hadir pada Majlis Amanat Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Johor bersama Kontinjen SUKMA Johor 2024 yang diakhiri dengan sesi penyampaian Sijil Penghargaan dan Penyertaan SUKMA 2024.

 

Hadir sama pada majlis itu ialah YB Dato’ Haji Noorazam Osman, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Johor Bahru selaku Timbalan Ketua Kontinjen Johor I; Ts Mohd Ekmaluddin Ishak, Pengarah Majlis Sukan Negeri Johor (MSNJ); YB Datuk Pandak Ahmad, Ketua Kontinjen SUKMA Johor dan Puan Hajah Hasrunizah Hassan, Timbalan Ketua Kontinjen Johor II.

 

#RiseUpJohor
#SukmaSarawak2024
#SukanMDJ
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor