JAJARAN PROJEK PELEBARAN PLUS KULAI–SEDENAK DIBUKA SEMENTARA LANCARKAN TRAFIK AIDILFITRI INI

Pembukaan laluan sementara ini dilaksanakan susulan kemajuan memberangsangkan projek pelebaran PLUS bagi jajaran Yong Peng Utara ke Senai Utara yang kini sedang giat dilaksanakan bagi memperkukuh rangkaian infrastruktur utama di Johor. | Foto FB Fazli Salleh

 

#IskandarPuteri – Sebahagian jajaran projek pelebaran di Lebuhraya Utara–Selatan (PLUS) sepanjang kira-kira tiga kilometer (KM) dari Kulai menghala ke persimpangan keluar Sedenak akan dibuka sementara kepada pengguna sempena Aidilfitri ini bagi membantu melancarkan aliran trafik serta mengurangkan kesesakan ketika musim perayaan.

 

Pembukaan laluan sementara ini dilaksanakan susulan kemajuan memberangsangkan projek pelebaran PLUS bagi jajaran Yong Peng Utara ke Senai Utara yang kini sedang giat dilaksanakan bagi memperkukuh rangkaian infrastruktur utama di Johor.

 

Projek bernilai kira-kira RM250 juta itu telah bermula pada 28 Jun 2024 dan dijadualkan siap sepenuhnya pada Jun 2027 dengan menaik taraf laluan sedia ada daripada empat lorong kepada enam lorong bagi meningkatkan kapasiti trafik di koridor utama negeri ini.

 

Bagi fasa pertama, projek ini melibatkan pakej laluan Kulai–Sedenak sepanjang 33KM merangkumi laluan arah utara sejauh 14.51KM serta laluan arah selatan sejauh 18.51KM.

 

Sehingga 20 Februari tahun ini, kemajuan fizikal projek berkenaan telah mencapai 46.44 peratus, sekali gus mendahului jadual asal dan ia secara tidak langsung menandakan pelaksanaan projek kini berjalan lancar serta berada di landasan yang tepat.

 

Projek pelebaran ini dijangka terus memperkukuh jaringan pengangkutan Johor selain menyokong kelancaran pergerakan harian rakyat serta sektor logistik yang semakin berkembang di negeri ini.

 

#JohorSafeZone
#ProjekPelebaranPLUS
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor