JAMBATAN BAHARU KOTA TINGGI BUKA LALUAN LEBIH SELESA BUAT BANGSA JOHOR

Pembukaan Jambatan ‘Bypass’ Kota Tinggi bukan sahaja melancarkan pergerakan, malah memperkukuh jaringan infrastruktur Johor bagi menyokong mobiliti rakyat serta aktiviti ekonomi negeri. | Foto FB Fazli Salleh
#KotaTinggi – Penduduk dan pengguna jalan raya di Kota Tinggi akhirnya boleh menarik nafas lega apabila mereka kini boleh menggunakan Jambatan ‘Bypass’ Kota Tinggi apabila prasarana terbaharu itu telah dibuka kepada kegunaan awam, sekali gus memberi wajah baharu kepada laluan utama yang menghubungkan Johor Bahru dengan Mersing serta kawasan pantai timur Johor yang lain.
Pembukaan jambatan baharu ini bakal membawa perubahan ketara berbanding laluan lama sebelum ini apabila pengguna kini juga dapat menikmati kemudahan jambatan empat lorong dua hala yang lebih luas, selesa dan mempunyai kapasiti lebih tinggi dengan kira-kira 15,000 pengguna dijangka menerima manfaatnya setiap hari.
Kemudahan ini membuktikan komitmen berterusan Kerajaan Johor bersama Kerajaan Persekutuan dan Jabatan Kerja Raya (JKR) dalam memastikan pembangunan infrastruktur negeri terus diperkasa, khususnya bagi menyediakan sistem perhubungan yang lebih baik untuk kegunaan rakyat serta menyokong pertumbuhan ekonomi setempat.
Dengan kos keseluruhan bernilai RM104.04 juta, projek ini bukan sekadar menaik taraf sebuah jambatan, tetapi ia juga membawa bersama jalan penyelesaian kepada keperluan pengguna di laluan strategik di Kota Tinggi yang menjadi antara penghubung penting ke kawasan pantai timur Johor.
Selain itu, pembinaan jambatan ini turut melibatkan pencapaian kejuruteraan apabila struktur lengkung keluli seberat kira-kira 1,450 tan dibina di tapak sementara sebelum ia berjaya digerakkan sejauh 1.1 kilometer ke kedudukan sebenar.
Pembukaan jambatan ini juga bukan sekadar menjadikan perjalanan lebih lancar, tetapi ia juga adalah sebahagian daripada usaha berterusan Kerajaan Johor dalam memperkukuh jaringan infrastruktur negeri supaya pergerakan rakyat, barangan dan aktiviti ekonomi dapat bergerak dengan lebih baik.
Terdahulu, YB Tuan Ir. Ts. Mohamad Fazli Mohamad Salleh, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur Dan Komunikasi Negeri Johor mengadakan lawatan ke Jambatan ‘Bypass’ Kota Tinggi, hari ini.
#JohorSafeZone
#LRASemangar
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


