JAMBATAN BAILEY, LALUAN SEMENTARA SEGERA DIBINA

Jambatan di Batu 20, Kampung Sungai Tiram runtuh dan rosak teruk akibat air sungai yang deras daripada hujan lebat berterusan. | Foto MDJ Aisyah Mazalan
#JohorBahru – Sebuah jambatan Bailey akan segera dibina untuk kegunaan lebih 1,000 penduduk dari empat kampung susulan kejadian jambatan sedia ada di Batu 20, dekat Kampung Sungai Tiram runtuh dan rosak teruk akibat hakisan tanah berpunca aliran air sungai yang deras daripada hujan lebat berterusan pada Ahad lalu.
Pembinaan infrastruktur tersebut akan dilaksanakan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk menghubungkan semula penduduk dari Kampung Orang Asli Pasir Salam, Kampung Sri Perdana, Kampung Bukit Dagang dan Kampung Batu 20 di Mukim Sungai Tiram, jelas Mohammad Safwan Mohd Yani, Jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Johor Bahru.

Foto MDJ Aisyah Mazalan
Selain itu, JKR Daerah Johor Bahru bersama syarikat konsesi penyelenggaraan jalan, TETO Engineering Sdn. Bhd. juga akan membina laluan sementara menghubungkan kawasan terjejas untuk memudahkan pergerakan penduduk menjalani kehidupan seharian dan menyediakan bahan sokongan bagi memastikan kelancaran pembinaan jambatan Bailey.
Malah JKR Daerah Johor Bahru komited untuk memastikan penyelesaian jangka pendek dan panjang dapat dilaksanakan secara berkesan demi kesejahteraan serta keselamatan penduduk setempat termasuk membina jambatan kekal yang baharu dengan kos pembinaan masih di peringkat penilaian.

Foto MDJ Aisyah Mazalan
Langkah proaktif menghubungkan semula penduduk terbabit yang telah terputus hubungan kerana kejadian terbabit menjelang perayaan Aidilfitri, merupakan susulan hasil perbincangan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Johor Bahru melibatkan Pejabat Daerah Johor Bahru bersama JKR Daerah Johor Bahru serta pihak berkaitan.
Terdahulu, YBhg. Puan Farhana Abdul Majid, Ketua Penolong Pegawai Daerah (Pembangunan) Pejabat Daerah Johor Bahru mengadakan lawatan dan tinjauan lokasi kejadian di Batu 20, dekat Kampung Sungai Tiram yang merupakan laluan utama untuk aktiviti harian serta ekonomi penduduk.
#JambatanBailey
#JKRJohor
#JPBDJohorBahru
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor