JDT JULANG PIALA MALAYSIA, TROFI KE-30

Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) merangkul Piala Malaysia 2024-2025. | Foto Sultan Ibrahim Sultan Iskandar
#IskandarPuteri – Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) terus mencipta sejarah gemilang apabila melengkapkan gelaran hatrik quadruple selepas merangkul Piala Malaysia 2024-2025 dengan menewaskan Sri Pahang FC 2-1 dalam aksi final di Stadium Nasional Bukit Jalil, sebentar tadi.
Kejayaan tersebut juga menjadi trofi Piala Malaysia kelima buat skuad Harimau Selatan selepas meraihnya pada edisi 2017, 2019, 2022 dan 2023 sekali gus mengukuhkan dominasi JDT dalam arena bola sepak tanah air.
Sri Pahang FC bagaimanapun terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi T. Saravanan pada minit ke-14, tetapi semangat juang tinggi ditampilkan JDT akhirnya berjaya bangkit menyamakan kedudukan melalui sepakan penalti Bergson da Silva pada minit ke-53.
Pemain Paling Bernilai (MVP) Anugerah Bolasepak Kebangsaan (ABK) empat kali berturut-turut, Arif Aiman Hanapi kemudian menjadi wira pasukan apabila meledak gol kemenangan pada minit ke-74, memastikan Piala Malaysia kekal menjadi milik Johor untuk musim ini.
Kemenangan penuh bergaya ini melengkapkan trofi ke-30 JDT secara keseluruhan sejak tahun 2013 sekali gus menjadi penamat musim cemerlang dan simbol kebanggaan seluruh rakyat Johor yang terus setia berdiri di belakang pasukan kesayangan mereka.
#JDTvSRP
#UnifiPialaMalaysia
#TheTMJEffect
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor