JDT OPTIMIS LAKAR KEMENANGAN ESOK


Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) bersedia memberikan persembahan terbaik untuk mempertahankan Piala Sumbangsih dalam aksi menentang Terengganu FC esok.

 

ISKANDAR PUTERI — Menjelang aksi Piala Sumbangsih 2023 esok, Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) optimis untuk melakar kemenangan ke atas Terengganu FC sekali gus meraih trofi pertama bagi musim baharu.

 

Pembantu Ketua Jurulatih JDT, Pablo Ricchetti berkata, setelah menjalani pra-musim di Dubai, keseluruhan pasukan kini memberikan tumpuan bagi menempuh musim 2023 dan ia bermula dengan Piala Sumbangsih.

 

“(Piala Sumbangsih) merupakan aksi pertama kami untuk musim baharu. Mahu mulakan dengan kemenangan. Selain itu, terus memastikan pasukan terus berkembang dan menang piala,” kata beliau.

 

Ditanya mengenai kesebelasan utama, Ricchetti memaklumkan perkara tersebut akan ditentukan esok, namun pengalaman bertemu pasukan ternama ketika pra-musim di Dubai akan diterjemahkan dalam aksi menentang Terengganu FC.

 

“Jadi kami mahu kekalkan intensiti dan tahap yang telah kita tunjukkan di Dubai dalam perlawanan esok. Kami melihat banyak kualiti yang ada dalam pasukan. Pemain tahu bagaimana untuk menang, berkembang dan kekalkan intensiti permainan.

 

“Kami mahu kekalkan apa yang telah pasukan lakukan pada musim lalu. Membina dan berkembang sebagai sebuah pasukan. Kami 100 peratus bersedia untuk trofi ini,” kata beliau.

 

Bagi pertahanan JDT, Jordi Amat menyifatkan keseluruhan pasukan bekerja keras untuk membuat persiapan bagi memulakan musim baharu termasuklah beberapa aksi dengan pasukan ternama ketika pra-musim di Dubai.

 

“(Keserasian pasukan) sangat baik. Pasukan semakin kuat setiap hari. Saya fikir kami memiliki pemain-pemain yang baik dan juga personaliti yang bagus. Mentaliti untuk menang kami merupakan salah satu ‘strongest point’ pasukan ini.

 

“Pemain tahu mengenai perkara ini, dan sudah bersedia. Jadi, harapan kami adalah memberikan persembahan terbaik dan ia merupakan fokus kami untuk perlawanan esok,” kata beliau yang turut menghormati kekuatan Terengganu FC.

 

JDT selaku juara bertahan dengan rekod lima kali menjulang Piala Sumbangsih berturut-berturut sejak 2018 hingga 2022, mahu mengulangi pencapaian dengan menang ke atas Terengganu FC dalam aksi di Stadium Sultan Ibrahim, di sini.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor