JEPUN MINAT KERJASAMA DAN MELABUR DI JS-SEZ

TYT Noriyuki Shikata, Duta Besar Jepun ke Malaysia ketika berucap pada Nikkei Forum Medini Johor 2025. | Foto MDJ Wira Anggara
#IskandarPuteri – Jepun menunjukkan minat yang tinggi untuk melabur di Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dalam usaha memperkukuhkan lagi kerjasama ekonomi dengan Malaysia sekali gus membuka lembaran baharu hubungan dua hala merangkumi pelaburan hijau, pengangkutan pintar dan pendidikan.
Perkembangan positif tersebut dizahirkan oleh TYT Noriyuki Shikata, Duta Besar Jepun ke Malaysia yang turut menyifatkan Johor kini muncul destinasi tumpuan utama untuk negara matahari terbit itu memperluaskan pelaburan melibatkan sektor swasta di Malaysia terutama di negeri ini.
Pelaburan Jepun dalam sektor logistik turut diberikan perhatian dengan Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) dan Johor Port telah dikenal pasti sebagai hab serantau yang berpotensi tinggi untuk ditingkatkan melalui pemindahan teknologi serta kepakaran dari Jepun.
Pembangunan inklusif diterapkan dalam JS-SEZ termasuk komponen pendidikan dan tenaga kerja berkemahiran tinggi juga selari dengan komitmen Jepun yang melaksanakan program pertukaran pelajar serta pembangunan bakat tempatan dalam bidang semikonduktor, kecerdasan buatan, tenaga mampan dan bioteknologi.
Minat Jepun terhadap ekosistem pelaburan Johor turut diperkukuhkan melalui kesediaan menyertai inisiatif hijau yang sedang diteroka di selatan tanah air termasuk teknologi hijau dan pembangunan sistem bandar rendah karbon yang selari dengan perancangan jangka panjang JS-SEZ.
Selain itu, Jepun menyatakan komitmen untuk bekerjasama dengan Kerajaan Negeri dalam menawarkan penyelesaian pengangkutan pintar untuk mempercepat transformasi pengangkutan awam yang lebih cekap, selamat dan mesra alam seterusnya mampu membantu mengurangkan kesesakan trafik di kawasan JS-SEZ.
Melalui kerjasama strategik berkenaan, Johor berpotensi muncul sebagai model bandar pintar dalam penyelesaian pengangkutan bukan sahaja untuk Malaysia malah rantau Asia dan menjadi model pembangunan serantau yang mampan serta berdaya saing berorientasikan masa hadapan.
#NikkeiForumMedini
#WTN
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor